Harimau Muda nyaris dimalukan Singapura

NAYPYITAW, 15 Dis (Bernama) — Malaysia gagal mengutip mata penuh apabila sekadar seri 1-1 dengan Singapura pada perlawanan Kumpulan A dalam acara bola sepak Sukan SEA ke-27 di Stadium Zeyar Thiri di sini Ahad.

Singapura bermula garang apabila Mohamad Sahil Suhaimi melakukan percubaan awal menerusi rembatan kencang seawal minit pertama namun berjaya dinafikan oleh penjaga gawang negara Mohd Farhan Abu Bakar.

Usaha penyerang negara A. Thamil Arasum mencari gol pembukaan pada minit ke-17 gagal membolosi gol lawan.

Corak permainan berlangsung seimbang apabila kedua-dua pasukan bertali arus melakukan serangan namun gagal menjaringkan sebarang gol.

Bersambung pada babak kedua, Singapura yang menggandakan serangan berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi Muhammad Sahil Suhaimi pada minit ke-62.

Penyerang negara, Mohd Rozaimi Abdul Rahman berjaya menyelamatkan maruah pasukan apabila menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan percuma pada minit ke-90.

Malaysia dijadualkan bertemu Vietnam pada perlawanan penutup peringkat kumpulan A di venue yang sama, Selasa ini, sebelum layak ke perlawanan separuh akhir.

Singapura berjaya layak mara ke pusingan separuh akhir selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan mengutip sembilan mata iaitu dengan perbezaan satu mata di hadapan Malaysia yang masih mempunyai baki satu perlawanan.

Sementara itu, jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee berkata anak buahnya menampilkan pretasi baik dengan mengikat pasukan Singapura yang dianggap antara yang terbaik di sini.

Beliau berkata peluang Malaysia menjuarai kumpulan itu masih terbuka luas apabila perlu mengutip tiga mata penuh ke atas Vietnam.

Highlights