Harimau Muda A tetap ke Australia

KUALA LUMPUR – Segala pelaburan besar dan persediaan rapi yang diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk skuad Harimau Muda bagaikan tidak berbaloi apabila mereka gagal mempertahankan gelaran, ditambah pula pulang dengan tangan kosong pada Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.

Sehingga kini, episod kekecewaan itu masih lagi menjadi bualan ramai meskipun hampir seminggu peristiwa tersebut berlalu, tidak kurang ramai yang memuji skuad ‘emas’ itu.

Dalam pada itu, mungkinkah babak sedih akan berlarutan sedangkan pelbagai ikhtiar sudah dipergiatkan, dan terbaru skuad Harimau Muda A disahkan bersaing dalam Liga Australia (Liga-A) musim 2014/2015 mulai Oktober tahun depan.

Menurut Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee, inisiatif tersebut wajar diteruskan walaupun skuad kendaliannya sedang meniti detik-detik yang mengecewakan.

“Memang itu tujuan kita sebenarnya, tidak bermakna sekali kita gagal, kita harus hentikan semua perancangan ini. Kalau tarik diri, bermakna kita pengecut dan kita tidak belajar sesuatu daripada pengalaman.

“Kita perlu menilai dan padang dari sudut positif. Bagi saya, kalu kita hantar mereka sana (Liga A) maka dari situ banyak pendedahan yang amat berguna dapat diterima.

“Ini pelaburan jangka masa panjang demi melihat perkembangan bola sepak negara semakin meningkat dan ia akan menguntungkan skuad negara satu hari nanti.

“Pemikiran di luar kotak perlu berterusan di mana rancangan rapi bukan sahaja pemain berusia 12 hingga 17 tahun sahaja, tapi ia melibatkan keseluruhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Selain Harimau Muda A, turut mendapat tempias ialah Harimau Muda B yang bersaing di Liga Singapura manakala skuad bawah 19 tahun negara akan ke Vion, Slovakia pada Julai hingga November tahun depan selepas bersaing dalam Piala FAM.

Spekulasi sama ada Kim Swee mahu terus kekal memacu Harimau Muda A selepas melalui detik pahit itu, beliau mengakui masih belum memikirkannya.

“Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku, terutama jurulatih. Di mana-mana ada pilihan terbaik, itu sesuatu perkara yang saya akan fikirkan kemudian. Tapi buat masa ini biarlah saya berehat dulu. Apabila saya balik daripada bercuti nanti saya akan selesaikan semua masalah atau semua kata putus ke mana hala tuju saya selepas ini,” katanya.

Masa depan jurulatih itu terjawab kelmarin, selepas FAM memutuskan untuk melanjutkan kontrak Kim Swee yang berakhir 31 Disember ini.