Harimau Malaya hilang taring tahun 2013

SABAN tahun, bola sepak menutup kalendar sukan tempatan kekal dengan tradisi sebagai sukan No. 1 tanah air.

Biarpun Harimau Malaya kerap dibayangi dengan prestasi hambar, penyokong-penyokong tetap ‘gila bola’ dan masih sanggup memenuhi stadium.

Sepanjang tahun 2013, prestasi skuad Harimau Malaya sentiasa menjadi topik utama di setiap dada akhbar tempatan.

Apa yang pasti, 2013 bukanlah tahun yang diimpikan buat peminat serta penyokong setia bola sepak tempatan melihat prestasi skuad Harimau Malaya.

Era kejatuhan Harimau Malaya

SENTUHAN Datuk K. Rajagobal yang mula membimbing skuad Harimau Malaya sejak 2009 pasti melekat di benak fikiran peminat-peminat fanatik tempatan.

Magis Rajagobal ketika membantu Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki 2010 selain menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Loas menjadi kemuncak prestasi kariernya sebagai pengendali Harimau Malaya.

Begitupun, sentuhan luar biasa Rajagobal itu dilihat serba tidak menjadi sepanjang tahun lalu sehingga menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menyambung kontraknya yang tamat secara rasmi semalam.

Kemuncak kepada keputusan itu dibuat apabila Harimau Malaya gagal layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 selaku dua pasukan terbaik dalam Kumpulan D.

Kini Harimau Malaya perlu mengharapkan keajaiban untuk mencuri satu slot Piala Asia 2015 selaku pasukan ketiga terbaik peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, kali terakhir Harimau Malaya merakamkan kemenangan ialah ketika menewaskan kelab Australia, Sydney Olympic 4-0 pada aksi persahabatan Jun lalu.

Prestasi Harimau Malaya semakin dikecam selepas mereka tewas 0-5 kepada pasukan bertaraf kelab iaitu kelab Jepun, Shonan Bellmare dan Tokyo Verdy pada Julai lalu.

Seperti biasa, FAM terus menjadi ‘medan’ oleh pengkritik-pengkritik sebagai platform menghentam prestasi hambar Harimau Malaya.

Sejurus keputusan tersebut, FAM akhirnya mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang gagal menepati Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) iaitu layak ke pentas Piala Asia 2015 di Australia.

Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee diberikan mandat oleh FAM untuk membimbing sementara Harimau Malaya yang akan mengharungi aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia 2015 menentang Yemen Mac depan.

Bagi pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, beliau menyifatkan tindakan FAM yang tidak melanjutkan kontrak Rajagobal bukan bersifat peribadi.

Kay Kim berkata, setiap jasa dan pengorbanan Rajagobal tetap dikenang.

“Setiap permulaan tetap akan berakhir dengan penutup. Perkara itu tidak terkecuali buat Rajagobal.

“Tidak dapat dinafikan, sumbangan Rajagobal kepada bola sepak negara cukup besar tetapi mungkin sudah tiba masanya FAM mencari jalan lain untuk meningkatkan tahap keupayaan bola sepak negara.

“Jika statistik menceritakan situasi sebenar skuad negara, FAM harus bertindak. Saya percaya FAM tidak memiliki sentimen lain (selepas tidak melanjutkan kontrak Rajagobal).

“Pada masa sama, FAM semakin terdesak untuk mencari calon-calon lebih sesuai untuk mengemudi skuad kebangsaan.

“Pada pendapat saya, kita tidak boleh lagi nak melakukan ‘eksperimen’ kerana kita membawa nama naik negara di pentas antarabangsa.

“Mungkin sudah tiba masanya Rajagobal berehat seketika. Paling mustahak, para penyokong harus kekal memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Harimau Malaya perlu nafas baharu

BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali turut menggesa FAM mencari calon tepat untuk mengemudi skuad Harimau Malaya mulai tahun ini.

Selepas menyaksikan lebih banyak rekod buruk Harimau Malaya tahun lalu, Khalid percaya sudah tiba masanya pasukan kebangsaan diberikan nafas baharu dalam dalam usaha memperbaiki ranking dunia.

Khalid percaya Harimau Malaya memerlukan taktikal baharu dan beliau menyifatkan pengambilan jurulatih asing dilihat mampu memperkasakan skuad kebangsaan.

“Buat masa ini, kita memerlukan satu strategi baharu yang mana FAM perlu berbelanja sedikit untuk mendapatkan jurulatih-jurulatih yang berkualiti.

“Bukan saya mengatakan jurulatih kita tidak bagus tetapi buat masa ini, pengalaman mereka (pengendali import) membeza status kelas antara jurulatih tempatan.

“Jika kita masih berminat untuk mencabar kuasa-kuasa besar Asia seperti Australia, Jepun atau Korea Selatan, sudah tiba masanya kita mengorak langkah.

“Boleh dikatakan kita memiliki ramai pemain-pemain muda yang berkualiti dan dengan tunjuk ajar jurulatih-jurulatih ternama dunia, saya yakin kita mampu mencabar tiga kuasa besar Asia itu,” katanya. – Kosmo