Guru cemas burung hering masuk laman rumah

MUAR – Seorang guru sekolah rendah berdepan detik mencemaskan apabila seekor burung hering memasuki pekarangan rumahnya di Taman Seri Aman Sari, Parit Keroma di sini semalam.

Remy Azman Abdul Rashid, 40, berkata, pada mulanya burung itu yang biasanya makan bangkai berada di luar pagar rumahnya kira-kira pukul 1.15 petang.

Tidak berapa lama kemudian, dia yang mengajar di Sekolah Sungai Raya, Bukit Pasir, di Pagoh terkejut melihat burung berkenaan terbang ke pekarangan rumahnya.

“Saya bercadang menangkapnya tetapi kerana bimbangkan sifat burung ini yang boleh menyerang dan menjadi agresif, saya membatalkan hasrat itu.

“Bimbangkan keselamatan isteri dan tiga orang anak di rumah, saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Muar untuk meminta bantuan,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya, Bukit Pasir dekat sini.

Beliau yang pertama kali melihat burung berkenaan di taman tersebut mengesyaki unggas itu datang dari kawasan belukar berdekatan.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Muar, Mohd. Fadli Mohd. Juki berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap burung itu yang bertenggek di sebatang pokok di belakang rumah berkenaan.

Katanya, empat anggota JPAM terpaksa mengepung burung itu sebelum menjerut kakinya sehingga jatuh.

“Kita terpaksa menyerkup burung ini dengan kain kerana sangkar yang dibawa tidak muat.

“Pemeriksaan mendapati burung ini cedera di bahagian sayap kiri, kemungkinan terlanggar objek tajam atau keras dan bergaduh dengan burung yang lain,” katanya.