Gitar jenama Man Keedal, Lefthanded bakal beraksi di HRC Melaka

Image result for gitar jenama kidalImpian yang dipendam pemuzik ini selama empat dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, akhirnya tercapai. Pemain gitar disegani, Man Kidal bakal memasarkan gitar jenamanya sendiri, mulai tahun depan.

Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 50, berkata projek membina kilang bagi mengeluarkan gitar jenama ‘Man Kidal’ sudah diluluskan kerajaan dengan kos dianggar RM25 juta.

Ini adalah produk istimewa untuk peminat terawal kerana memiliki elemen batik yang menjadi jati diri masyarakat Melayu. Harganya sangat berpatutan iaitu RM7,000 seunit.” Man Kidal, Gitaris

“Ini impian saya sejak dulu dan tak sangka, akhirnya doa dimakbulkan. Perancangan sudah lama dibuat dengan melawat beberapa negara bagi melihat teknologi menghasilkan gitar kerana saya pentingkan mutu.

“Produk ini akan dikeluarkan sama ada mengikut teknologi Amerika Syarikat (AS), Jepun atau Jerman. Gitar dihasilkan negara terbabit diakui bermutu terutama dari aspek bunyi dan reka bentuk,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Lefthanded di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Man Kidal berkata, sebagai permulaan, sebanyak 15 gitar edisi terhad bercorak batik akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Ini adalah produk istimewa untuk peminat terawal kerana memiliki elemen batik yang menjadi jati diri masyarakat Melayu. Harganya sangat berpatutan iaitu RM7,000 seunit,” katanya sambil menambah koleksi gitar itu boleh didapati di Hard Rock Cafe Penang, Pulau Pinang.


Nash dendang 16 lagu

Pengasas kumpulan Lefthanded ini mengaku teruja menantikan tarikh 22 Disember depan. Ini kerana Lefthanded yang ditubuhkan pada 1979 akan mengadakan konsert di Hard Rock Cafe Melaka.

“Selepas 15 tahun tidak mengadakan konsert di Melaka, akhirnya kami kembali menghiburkan peminat di negeri itu. Ia adalah sebahagian daripada siri jelajah selepas tiga lokasi iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya.

Man Kidal berkata, konsert itu adalah sebahagian daripada strategi untuk Lefthanded melangkah lebih jauh.

“Kami menyasarkan konsert besar bersama barisan orkestra sama ada di Istana Budaya (IB) atau Dewan Filharmonik Petronas (DFP),” katanya yang mengharapkan ada badan korporat sanggup menaja projek itu.

Mengulas mengenai persembahan di Melaka, vokalis Lefthanded, Nash berkata, konsert itu paling istimewa kerana bakal dirakamkan.

“Konsert itu akan dirakamkan dan diterbitkan dalam bentuk DVD dan pastinya membabitkan penonton. Selain itu, kami akan mengadakan lelongan amal membabitkan gitar untuk disumbangkan kepada mangsa banjir serta penjualan kemeja-T edisi terhad Lefthanded,” katanya.

Selain Lefthanded, konsert itu turut mengundang dua penyanyi iaitu Mus dari kumpulan May dan Silah (Kilauan Emas) untuk membuat persembahan.

Tambah Nash, sebanyak 16 lagu daripada koleksi terbaik Lefthanded didendangkan selama dua jam.

“Konsert itu dibahagikan kepada dua set dengan set pertama membabitkan lapan lagu hit diikuti acara lelong. Lapan lagu lain dinyanyikan pada set kedua bersama penyanyi jemputan dan gabungan semua penyanyi bagi menghangatkan suasana.

“Sasaran kami hanya 700 hingga 800 peminat terawal berdasarkan kapasiti ruang di Hard Rock Cafe, Melaka,” katanya yang akan diiringi 50 hingga 60 peserta konvoi motor berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka.

Info: Konsert Lefthanded
Tempat: Hard Rock Cafe Melaka
Tarikh: 22 Disember 2013
Masa: 8.45 malam
Tiket: RM70 dan RM80