Gandingan 3 Al- Ahly tajamkan sengat Red Warrior

Kota Bharu: The Red Warriors (TRW) yang memilih tiga tonggak import bekas pemain kelab Mesir, Al-Ahly membantu mempercepatkan keserasian sebelum saingan Liga M 2014 bermula.

Tiga tonggak itu adalah pemain tengah, Mohamed Shawky dan dua penyerang, Mohamed Ghaddar serta Francis Forkey Doe, sekali gus menyaksikan pertemuan kembali tiga bekas pemain Al-Ahly yang beraksi dengan kelab itu pada 2010.

Shawky, 32, yang berasal dari Mesir dan bekas pemain Middlesbrough berkata, bukan satu masalah besar baginya untuk menyesuaikan diri dengan Ghaddar dan Forkey Doe, apatah lagi mereka pernah beraksi bersama dulu.

“Sebelum saya datang, saya sudah bertanya kepada Ghaddar dan dia memberitahu Kelantan mempunyai ramai penyokong dan salah sebuah kelab terbesar di Malaysia.

Untuk itu saya menerima untuk bermain bersama Kelantan.

“Saya gembira Ghaddar turut berada di sini selain dapat bersama kembali dengan Forkey Doe.

Ini satu kelebihan bagi kami bertiga untuk menyesuaikan diri,” katanya selepas sesi latihan di Padang Mardi, Pasir Tumbuh semalam.

Menurut Shawky, dia sedang berusaha untuk mengenali pemain tempatan termasuk memahami corak permainan di Liga M.

Katanya, dia juga bersedia berkongsi kemahiran dengan pemain tempatan untuk bersama-sama menguatkan pasukan.

“Ini kali pertama saya berada di Malaysia dan saya perlu tahu corak permainan di sini temasuk mengenali pemain tempatan.

Perkara itu akan mengambil masa namun itu bukan masalah besar.

“Saya akan menggunakan pengalaman ketika beraksi di negara lain yang mungkin boleh dikongsikan dengan pemain tempatan sekali gus mengeratkan hubungan dan mendapatkan keserasian,” katanya. – HM