FC Ryukyu Mahu Ambil Lebih Ramai Pemain Malaysia

PETALING JAYA, — Kelab divisyen tiga Liga Jepun, FC Ryukyu berminat untuk mengambil lebih ramai pemain Malaysia.

Ketua jurulatihnya Norihiro Satsukawa berkata sekiranya terdapat pemain Malaysia yang baik, pihaknya akan memberitahu pihak pengurusan mereka.

Pasukannya akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Harimau Muda A di Stadium MBPJ pada Rabu.

Kelab itu kini mempunyai dua pemain Malaysia iaitu Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim yang direkrut awal tahun ini.

Satsukawa berkata beliau gembira melihat perkembangan baik Wan Zack Haikal yang sedang menjalani rawatan kecederaan lutut.

Pemain FC Ryukyu ketika latihan semalam

“Agak malang Wan Zack hanya dapat bermain dua perlawanan sebelum cedera sementara Nazirul Naim perlu diberi lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri corak permainan kami,” katanya.

Mengenai perlawanan persahabatan itu, beliau berkata ia persediaan baik buat anak buah Datuk Ong Kim Swee menghadapi Sukan SEA di Myanmar yang bermula Sabtu ini.

“Perlawanan persahabatan ini bukan aksi biasa. Ia cukup istimewa sebagai lambang persahabatan FC Ryukyu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Saya tidak menolak kami mungkin akan menilai beberapa lagi pemain muda Malaysia kerana kami berminat dengan bakat pemain muda di negara ini,” katanya pada sidang media di Wisma FAM semalam.

“Kami gembira datang ke sini dan saya berharap kami akan mendapat perlawanan yang bagus menentang pasukan bawah 23 Tahun Malaysia,” katanya.