FAM mahu Philippe Troussier kendali Harimau Malaya

BEKAS jurulatih Jepun, Philippe Omar Troussier dilaporkan semakin hampir untuk dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya pada awal tahun depan.

Trouser juga bekas jurulatih Marseille, Morocco, Qatar, Nigeria dan juga pengurus besar di FC Ryukyu. Beliau sekarang milik kelab dari China, Shenzhen Ruby.

Menurut satu sumber dalaman, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah lama berusaha untuk mendapatkan khidmat Troussier yang dianggap antara jurulatih berwibawa untuk mengangkat nama pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Keseriusan FAM itu terbukti apabila mereka menghantar wakil untuk berjumpa dengan Troussier di China pada Julai lalu bagi membincangkan dengan lebih lanjut tentang hasrat badan induk bola sepak negara itu.

Jelas sumber tersebut, Troussier yang berjaya membimbing skuad Samurai Biru layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2002, dilaporkan hampir pasti bersetuju untuk melatih Harimau Malaya pada tahun depan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Troussier antara calon yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan yang bakal ditinggal oleh bekas jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

FAM telah bersetuju untuk tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang berakhir pada 31 Disember depan selepas gagal mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) iaitu layak ke Piala Asia 2015 secara automatik.

Selain Troussier yang dikatakan bakal menikmati pendapatan lumayan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) setahun daripada FAM jika bersetuju melatih Harimau Malaya, bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak; Robert Alberts dan pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Buat masa ini, FAM telah melantik Kim Swee sebagai jurulatih sementara skuad Harimau Malaya sebelum mengumumkan jurulatih tetap pada akhir tahun ini.

Begitupun, FAM dilihat masih berminat untuk mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ terhadap perkhabaran tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin juga enggan mengulas lanjut namun memberitahu, pihaknya masih menilai calon-calon sesuai sebelum mendedahkan jurulatih tetap Harimau Malaya.

“Sejujurnya, saya tidak tahu jika ada wakil kami ke China (untuk berunding dengan Troussier).

“Buat masa ini, saya tidak katakan beliau (Troussier) hampir pasti bakal menjadi jurulatih Harimau Malaya.

“Ini kerana FAM masih sedang mengenalpasti calon-calon. Kita tunggu dan lihat,” katanya.