FAM Bakal Kaji Semula Peruntukan Kepada Skuad Futsal Negara

NAYPYITAW, 18 Dis (Bernama) — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan ‘post-mortem’ mengenai prestasi buruk skuad futsal lelaki negara pada temasya Sukan SEA ke-27.

“Salahkan diri sendiri”. Itu antara reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin kepada skuad futsal lelaki negara.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pencapaian skuad itu mewajarkan kajian mendalam selepas pasukan itu diberi latihan insentif serta dihantar ke banyak kejohanan jemputan tahun ini.

Skuad negara di bawah jurulatih Maizal Hairi Marzuki gagal ke separuh akhir selepas tercorot dalam kumpulan A yang turut disertai oleh Indonesia dan Myanmar.

“Memang betul kita buat persediaan yang terbaik dengan skuad futsal ini tetapi kita masih gagal layak ke separuh akhir,” katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Berikutan pencapaian itu, Hamidin tidak menolak kemungkinan FAM akan mengkaji semula peruntukan tahunan kepada skuad futsal negara.

Pada saingan peringkat kumpulan, Malaysia seri 1-1 dengan Myanmar sebelum kalah mengejut 5-4 kepada Indonesia. — BERNAMA