Cerita Jaguh Basikal Veteran Shaharudin Dan Tabung Persatuan RM44.60

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) — Cerita bagaimana bekas jaguh lumba basikal negara era 1960-an Shaharudin Jaffar mengubah nasib Malaysia dalam sukan itu yang hanya tinggal RM44.60 dalam akaun Persatuan Lumba Basikal Malaysia ketika itu akan terpahat selamanya dalam ingatan beliau.

Shaharudin adalah sebahagian daripada pasukan Malaysia ke Sukan Semenanjung Asia Tenggara (Sukan SEAP) 1969 di Rangoon, Burma ketika itu yang kembali ke tanah air tanpa memenangi sebarang pingat walaupun Malaysia telah dicanang-canang akan memperoleh kejayaan.

Anggota lain dalam pasukan itu terdiri daripada Daud Ibrahim, Ng Joo Ngan dan abangnya (Ng) Joo Pong, Johari Ramli dan Fadzil Ibrahim.

“Kegagalannya adalah disebabkan persediaan lemah para pegawai yang mengiringi kami. Mereka tidak membawa basikal dan tayar yang betul untuk acara yang kami bertanding,” kata Shaharudin di rumahnya di Shah Alam.

Beliau dipujuk untuk bercakap mengenai perkara itu kepada Bernama berikutan prestasi kurang memberangsangkan pasukan berbasikal Malaysia ke Sukan SEA yang baru berakhir yang turut diadakan di negara yang sama tetapi kini dikenali sebagai Myanmar.

Sesetengah pelumba meletak kesalahan di atas perancangan yang salah para pegawai.

“Secara kebetulan, apa yang berlaku 44 tahun lalu berulang di negara yang sama. Dan angka 44, itulah apa yang ada dalam akaun bank kami apabila saya mengambil alih persatuan itu (kini Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) sebagai setiausaha agung selepas sahaja kejohanan Sukan SEAP itu,” katanya.

Transformasi beliau daripada seorang pelumba basikal negara kepada setiausaha agung persatuan tidak kurang menariknya.

Pada mesyuarat agung tahunan yang diadakan berikutan Sukan SEAP Rangoon, Shaharudin mencabar kepimpinan atasan untuk meletak jawatan bagi mengambil tanggungjawab di atas kegagalan yang berlaku, sehingga menyebabkan lima pegawai yang diketuai presiden Tan Sri V Manickavasagam berhenti secara beramai-ramai.

Shaharudin yang memenangi pingat emas pada Sukan SEAP Ke-3 di Kuala Lumpur pada 1965 dilantik sebagai setiausaha agung sementara Americk Singh selaku pemangku presiden.

Beliau menyahut cabaran itu tanpa menyedari acara besar yang sedang menunggu iaitu Tour D’Java bagi merebut Piala Suharto yang berprestij, yang akan berlangsung hanya dalam masa dua bulan lagi dan dengan duit sebanyak itu yang persatuan miliki untuk dibelanjakan.

Namun dengan pertolongan setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ketika itu Tong Poh Nyen, mereka berupaya mendapat kelulusan presiden MOM, Tun Abdul Razak sebanyak kira-kira RM10,000 untuk menghantar pasukan ke Indonesia, yang separuh dari bajet itu adalah untuk tambang kapal terbang semata-mata.

Shaharudin yang kini bersuia 74 tahun berkata untuk menjimatkan kos, mereka mengambil keputusan menjalani latihan pusat di negeri asalnya iaitu Melaka dengan isterinya Hasmah Ibrahim menyediakan makanan tiga kali sehari selama dua minggu untuk enam pelumba dan dua pegawai.

Walaupun dengan bajet yang terhad, Malaysia muncul juara keseluruhan bagi acara berpasukan daripada kalangan 13 negara yang bertanding dengan Joo Ngan memenangi acara individu.

Di Sukan Asia Bangkok 1970, empat bulan kemudian, Daud Ibrahim dan Joo Ngan menang empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa sebagai jumlah pungutan keseluruhan.

“Kami berupaya menebus kegagalan di Rangoon dan tiba-tiba pasukan basikal kami menjadi kesayangan media dengan OCM menarik balik keputusan awalnya untuk tidak bertanding dalam acara basikal di Sukan SEAP 1971. Pelumba basikal kita membalas balik kepercayaan yang diberikan kepada mereka dengan memenangi lima daripada 10 pingat emas yang dipertandingkan,” katanya.

Dengan nada yang lebih serius, Shaharudin berkata: “Jadi, jangan bercakap soal wang dengan saya sebagai alasan tidak cemerlang dalam sukan. Ia sangat menyakitkan saya melihat bagaimana atlet kita gagal untuk beraksi sejak akhir-akhir ini walaupun kerajaan berbelanja ratusan juta untuk pembangunan sukan”.

Shaharudin berkata satu perbezaan besar antara atlet dahulu dan sekarang ialah minat dan komitmen penuh atlet generasi beliau untuk melakukan yang terbaik demi negara apabila setiap kali menyarung jersi negara.

“Dan tiada daripada mereka yang terlebih dimanja atau senang mendapat ganjaran kewangan di atas kejayaan yang mereka sumbang kepada negara, tidak seperti sekarang.

“Kami bertarung bermati-matian dan membuat pengorbanan yang diperlukan. Bagi isteri saya, beliau malah menggadai barang kemasnya bagi memenuhi keperluan semasa latihan pusat di Melaka itu,” katanya Shaharudin dengan emosi.

Beliau juga menasihati atlet jangan ‘besar kepala’ apabila mencapai kejayaan terutama mendapat ganjaran kewangan bagi usaha mereka tetapi selalu merendah diri.

“Saya berani bercakap, saya dan rakan-rakan saya memberi segala-galanya untuk negara. Kami sangat berbangga dan merasa dihormati untuk mewakili Malaysia. Malah kami sanggup mati untuk negara menerusi sukan,” katanya.

Shaharudin turut menggesa pegawai sukan supaya tidak terlalu lama memegang jawatan terutama dalam sukan yang Malaysia bukan sahaja tidak maju malah merosot teruk berbanding dahulu dan menambah para pegawai seperti ini hanya mendatangkan kerugian kepada negara.

“Awak tahu siapa yang saya cakapkan, tidak perlulah sebut nama mereka,” katanya.– BERNAMA