Cabaran Frenz United Malaysia

RANJAU penuh berliku menanti wakil negara – Frenz United Malaysia menjelang Piala Antarabangsa Frenz Bawah 16 Tahun (B-16) 2014 yang akan membuka tirainya pada 11 Januari tahun depan.

Diundi bersama juara bertahan – skuad B-16 Slovakia dalam aksi Kumpulan A, Frenz United Malaysia juga bakal diuji beberapa pasukan terkemuka dunia iaitu Internacional (Brazil), Besiktas (Turki) serta dua pasukan Asia iaitu Incheon United (Korea Selatan) dan Dalian Aerbin dari China.

Namun Presiden Kelab Bola Sepak Frenz United, Datuk Noor Ihsan A Hamid percaya skuad Frenz Malaysia mampu memberikan cabaran, sekali gus memperbaiki pencapaian menduduki tempat ketiga kejohanan pada edisi pertama sebelum ini.

“Sasaran kami tetap tidak berubah iaitu mahu muncul juara biarpun berada dalam kumpulan yang kuat.

“Saya juga berharap peluang berdepan pasukan yang hebat seperti Internacional dan Besiktas mampu memberikan pendedahan dan pengajaran berguna buat barisan pemain Frenz Malaysia,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar kejohanan itu di Paradigm Mall, Kelana Jaya semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin; Pengarah Frenz United Indonesia, Ophan Lamara; Ketua Pegawai Eksekutif Frenz United FC Sdn. Bhd., Ali Bakar dan Pengarah Teknikal Frenz United, Omar Ali.

Kejohanan edisi kedua yang menawarkan ganjaran keseluruhan lebih AS$100,000 (RM318,068) itu dianjurkan Frenz United dengan kerjasama FAM selain mendapat sokongan rakan penaja seperti Premiere Hotel, Paradigm Mall, WCT Kids, Restoran Zam Zam, Frenz Hotel, Sparky Animation dan Qiraman Holidays Sdn. Bhd.

Majlis pembukaan kejohanan bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sementara aksi Kumpulan A bakal berlangsung di Stadium Insititut Penilaian Negara (Inspen) Bangi.

Aksi Kumpulan B yang membabitkan Frenz United Indonesia, skuad B-16 Iran, Rapture FC (Nigeria), Chonburi FC (Thailand), E. Franfurt (Jerman) dan Sporting Lisbon dari Portugal pula bakal berlangsung di Stadium Maguworhorjo, Jogjakarta.

Mengulas lanjut, Noor Ihsan memberitahu, pihaknya juga belum membuat keputusan berhubung venue final kelak.

“Jika Frenz United Malaysia layak ke final, berkemungkinan besar ia diadakan di sini.

“Namun, aksi separuh akhir akan diadakan di sini dan juga di Indonesia,” jelas beliau.

Sebelum membuka tirai kejohanan, Frenz United Malaysia dan Frenz United Indonesia juga bakal berdepan skuad belia Liverpool dalam satu aksi persahabatan pada 4 dan 8 Januari kelak.

Sementara itu, Hamidin memuji kesungguhan Frenz menyediakan medan terbaik menghimpunkan bakat-bakat muda berpotensi dari seluruh dunia.

“FAM sentiasa memberikan sokongan kepada mana-mana pihak terutamanya Frenz yang komited menganjurkan kejohanan berprestij seperti ini.

“Edisi kali ini juga dilihat lebih menarik apabila buat pertama kali ia bakal dianjurkan bersama dengan Frenz United Indonesia.

“Saya juga percaya Frenz United Malaysia mampu memberikan cabaran terutamanya apabila diperkuatkan dengan beberapa pemain B-16 Tahun Malaysia pada kejohanan kali ini,” kata Hamidin. – Kosmo