BPL: Wilshere digantung perlawanan kerana isyarat lucah

LONDON – Pemain tengah Arsenal, Jack Wilshere digantung dua perlawanan selepas mengaku bersalah menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong-penyokong Manchester City.

Insiden tersebut telah dirakamkan oleh kamera televisyen di mana Wilshere menunjukkan jari tengah semasa Arsenal tewas 6-3 di Eastlands Sabtu lalu.

Meskipun pengadil perlawanan, Martin Atkinson dan pegawainya terlepas pandang sewaktu kejadian itu berlaku, namun Persatuan Bola Sepak (FA) England mengambil pendekatan retrospektif dengan melaksanakan prosiding tatatertib terhadap pemain tersebut di bawah skim perintis baru bagi situasi ‘tidak dilihat’ dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Tiga panel hakim bebas telah bersetuju jika isyarat itu dilihat sewaktu dalam perlawanan, maka Wilshere wajar dikenakan hukuman.

Arsenal turut mengemukakan kepada badan berkuasa untuk meringankan hukuman Wilshere, bagaimanapun permohonan tersebut ditolak sekali gus menyebabkan pemain berusia 21 tahun itu terlepas dalam pertarungan penting bertemu musuh tradisi, Chelsea pada 24 Disember ini dan West Ham.

“Pemain Arsenal, Jack Wilshere digantung dua perlawanan oleh badan induk bola sepak England.

“Wilshere dikenakan hukuman oleh FA kerana telah menunjukkan isyarat lucah dan/atau menghina dan/atau kesat semasa perlawanan antara Manchester City dan Arsenal di Stadium Etihad, 14 Disember lalu.

“Insiden tersebut tidak dilihat oleh pegawai perlawanan, tetapi ada di dalam rakaman video.

“Walaupun mengaku pertuduhan itu, Wilshere mendakwa hukuman tersebut jelas berlebihan. Suruhanjaya itu menolak tuntutannya dan pergantungan dua perlawanan berkuatkuasa serta merta,” ujar FA dalam satu kenyataan.

Pada Desimber 2011, penyerang Liverpool, Luis Suarez pernah digantung satu perlawanan dan dikenakan denda £20,000 (RM107367.24) selain diberi amaran berkaitan masa depan pemain itu selepas didapati bersalah mempamerkan isyarat lucah kepada penyokong tuan rumah semasa beredar keluar dari padang berikutan kekalahan 1-0 ke atas Fulham. – AFP