BPL: Spurs pecat Villas-Boas

LONDON – Andre Villas-Boas semalam dipecat sebagai pengurus Tottenham Hotspur selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu mengalami dua kekalahan buruk dalam tempoh tiga minggu, biarpun membelanjakan 100 juta pound (RM528.50 juta) untuk membawa masuk bintang baharu, musim ini.

Kelmarin, Spurs dimalukan 0-5 oleh Liverpool di depan penyokong sendiri, hanya tiga minggu selepas dibelasah 6-0 oleh Manchester City di Etihad.

Tindakan kelab mengumumkan pemecatan jurulatih dari Portugal itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dua keputusan buruk tersebut.

Tottenham dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka berkata, kelab sudah ‘mencapai perjanjian’ dengan Villas-Boas untuk menamatkan khidmat pengendali dari Portugal itu.

Villas-Bolas mengambil alih Spurs pada Julai 2012, iaitu tempoh yang lebih lama berbanding ketika dia dipecat sebagai pengurus Chelsea hanya lapan bulan selepas membimbing The Blues.

Spurs berbelanja besar musim ini untuk membawa masuk beberapa muka baharu, termasuk Roberto Soldado yang dibeli dengan harga 26 juta pound (RM137.41 juta), Erik Lamela, Christian Eriksen dan Paulinho menerusi dana yang diperoleh hasil penjualan Gareth Bale ke Real Madrid.

Kekalahan terbaharu ini menyebabkan Spurs kini semakin sukar untuk menghambat kedudukan empat terbaik, yang memberikan tiket automatik ke Liga Juara-Juara Eropah apabila ditinggalkan lima mata di belakang pasukan tangga keempat, City.

“Kelab ingin mengumumkan bahawa kami sudah mencapai persetujuan dengan ketua jurulatih, Andre Villas-Boas untuk menamatkan khidmatannya.

“Keputusan dicapai atas persetujuan bersama dan demi kepentingan semua pihak.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada masa depan Andre. Kami akan membuat pengumuman lanjut berhubung perkara ini,” menurut kenyataan dalam laman web www.tottenhamhotspur. com.

Villas-Boas sebelum ini menegaskan, dia tidak akan sesekali meninggalkan kelab London itu walaupun dibelasah 0-5 oleh Liverpool, malah percaya Spurs berada di landasan yang baik sejak kekalahan 6-0 kepada City.

Akhbar Britain melaporkan, bekas pengendali England, Fabio Capello kini menjadi calon utama untuk membimbing Tottenham, selain Guus Hiddink. – AGENSI