BPL: Manchester City, United cemerlang

London: Juara bertahan Manchester United terpaksa mengharapkan gol jaringan sendiri pemain Hull City James Chester untuk bangkit mencipta kemenangan 3-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium KC malam tadi.

Biarpun ketinggalan dua gol awal, skuad kendalian David Moyes itu yang turut kehilangan Antonio Valencia yang dibuang padang pada lewat permainan boleh menarik nafas lega apabila masih mampu memungut tiga mata yang cukup berharga untuk terus mengejar pasukan teratas liga.

Hull pantas mendapat rentak apabila selesa mendahului 2-0 dalam tempoh 13 minit pertama dalam perlawanan awal aksi Boxing Day malam tadi apabila membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan Chester seawal minit ke-4.

Skuad kendalian bekas pemain United itu Steve Bruce kemudian menghasilkan gol kedua apabila David Meyler menewaskan penjaga gawang pasukan pelawat David De Gea menerusi rembatan kaki kanan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun kedudukan berubah apabila Red Devils menyumbat gol pertama selepas pemain pertahanan Chris Smalling menanduk masuk bola hantaran penyerang antarabangsa England Wayne Rooney pada minit ke-19.

Gol itu membakar semangat anak buah David Moyes yang menduduki tangga ke-8 dan ketinggalan lapan mata dengan pendahulu Liverpool sebelum turun beraksi malam tadi apabila menyamakan kedudukan menerusi percubaan Rooney pada minit ke-26 untuk menutup babak pertama dengan kedudukan 2-2.

Bersambung babak kedua, skuad The Tigers kecewa apabila tandukan Alex Bruce pada minit ke-63 dinafikan palang gol selepas menerima sepakan sudut Tom Huddlestone.

Kekecewaan penyokong tuan rumah bertambah apabila Chester menghadiahkan gol kepada United apabila dia tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola lintang Ashley Young dari sebelah kanan pada minit ke-66.

United kemudian teruk diasak Hull di penghujung permainan khususnya selepas Valencia diarahkan keluar padang kerana menerima dua kad kuning namun mereka ampuh bertahan dan seharusnya berterima kasih kepada De Gea yang menyelamatkan percubaan Chester pada masa kecederaan.

Sementara itu GOL kesembilan Alvaro Negredo dalam sembilan perlawanan di laman sendiri memastikan Manchester City mengekalkan rekod tanpa kalah di stadium Etihad dengan kemenangan 2-1 ke atas Liverpool, awal pagi tadi.

Babak pertama menyaksikan permulaan yang mengagumkan daripada Liverpool yang mendahului perlawanan hasil jaringan Philippe Coutinho pada minit ke-24.

Namun, gol penyamaan cepat dihasilkan City menerusi tandukan Vincent Kompany tujuh minit selepas itu.

Sejurus sebelum berakhirnya babak pertama, giliran City pula mendahului perlawanan apabila cubaan lemah Alvaro Negredo gagal diselamatkan penjaga gol Liverpool Simon Mignolet.

“Apa yang penting hari ini adalah semangat kami yang tidak mengaku kalah. Walau pun ketinggalan satu gol pemain tetap menyerang,” kata pengurus City Manuel Pellegrini.

“Memang penting untuk mengakhiri tahun ini pada kedudukan empat teratas liga,” katanya.

Bagaimanapun, pengurus Liverpool Brendan Rodgers tetap bangga dengan pasukannya itu.

“Kami sangat kecewa tidak dapat memenangi perlawanan ini tetapi secara keseluruhan berpuas hati kerana corak permainan yang sangat cemerlang,” katanya.

City kini sudah memenangi kesemua sembilan perlawanan di laman sendiri dan terletak di tempat kedua selepas Arsenal.

Dengan kekalahan ini, Liverpool pula turun ke tempat keempat selepas memulakan perlawanan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Keputusan lain

Highlights