BPL: Hiddink, Laudrup tolak jadi pengurus Tottenham

LONDON – Guus Hiddink dan Michael Laudrup menjadi jurulatih pertama yang menolak daripada menggantikan Andre Villas-Boas sebagai pengurus Tottenham.

Hiddink, yang meninggalkan kelab Rusia, Anzhi Makhachkala pada Julai lalu berada dalam senarai untuk mengisi kekosongan tersebut, namun dia bersetuju untuk membimbing Belanda selepas tamat Piala Dunia 2014.

“Saya pasti terkejut jika Hiddink pergi ke Spurs. Saya tidak dapat bayangkan perkara itu berlaku.

“Dia baru menandatangani kontrak dengan Belanda dan turut menolak beberapa tawaran dari negara lain untuk kekal dengan komitmennya selepas Piala Dunia. Saya tidak akan berunding mengenai Hiddink ke Tottenham,” kata ejen jurulatih itu, Cees van Nieuwenhuizen semalam.

Pengurus Swansea, Michael Laudrup turut dikaitkan dengan kekosongan tersebut, namun ejennya, Bayram Tutumlu memberitahu akhbar Britain, Daily Mail bahawa pengendali kelahiran Denmark itu gembira di Swansea.

“Michael Laudrup sangat gembira di Swansea. Ia sebuah kelab yang bagus dan dia mahu kekal di sana,” ujar Tutumlu.

Villas-Boas dipecat sebagai pengurus Spurs, Isnin lalu ekoran kekalahan memalukan 0-5 kepada Liverpool yang dialami di depan penyokong sendiri, hujung minggu lalu.

Untuk tempoh sementara, tiga jurulatih yang berada dalam barisan kejurulatihan pasukan akan mengambil alih skuad.

“Kelab mengumumkan, Tim Sherwood, Chris Ramsey dan Les Ferdinand akan mengambil alih pasukan utama sepanjang perbincangan berjalan.

“Steffen Freund dan Tony Parks akan meneruskan tugas, tetapi Jose Mario Rocha, Luis Martins dan Daniel Sousa meninggalkan pasukan,” menurut Tottenham dalam satu kenyataan pendek.

Beberapa calon yang dikaitkan untuk mengisi kekosongan Villas-Boas adalah bekas jurulatih England yang kini membimbing skuad kebangsaan Rusia, Fabio Capello, jurulatih Southampton, Mauricio Pochettino serta Glenn Hoddle.