Bayern Munich juara Piala Kelab Dunia 2013

MARRAKECH, Maghribi – Gergasi Eropah, Bayern Munich mendakap gelaran kelima musim ini selepas mengatasi Raja Casablanca 2-0 pada final Piala Kelab Dunia awal pagi semalam.

Dalam perlawanan itu, The Bavarians dilihat tidak berdepan masalah membenam cabaran tuan rumah menerusi jaringan Dante dan Thiago.

Muncul pasukan Jerman pertama melakar kejayaan trebel apabila merangkul trofi Liga Jerman, Piala Jerman dan Liga Juara-Juara, skuad kendalian Pep Guardiola itu juga berjaya mendakap trofi Piala Super pada Ogos lalu.

Ia merupakan gelaran Piala Kelab Dunia ketiga buat Guardiola selepas beliau muncul juara bersama Barcelona pada 2009 dan 2011.

“Saingan tahun ini telah berakhir dan kejayaan mendakap lima trofi dalam masa setahun memang cukup istimewa.

“Saya cukup berbangga dengan Bayern dan sejak tiba di sini saya sudah berazam untuk menjaga nama baik mereka.

“Kini saya berharap mampu menghadirkan lebih banyak kejayaan buat Bayern selepas ini,” kata Guardiola.

Pengendali Raja Casablanca, Faouzi Benzarti pula tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dalam perlawanan itu.

“Mungkin pemain saya dilihat agak gementar, terutamanya pada babak pertama.

“Namun, hanya tewas 0-2 kepada pasukan yang hebat seperti Bayern juga sudah dianggap suatu kebanggaan,” kata- nya.

Kejayaan Bayern juga dianggap lebih bermakna selepas perancang utama, Franck Ribery muncul pemain terbaik kejoha- nan. – AFP

Highlights