Badminton: Prospek emas negara tumbang awal

NAY PYI TAW – Pemain perseorangan lelaki utama negara, Chong Wei Feng gagal memikul harapan besar yang diletakkan di bahunya untuk memenangi emas apabila tersingkir seawal pusingan pertama acara badminton Sukan SEA 2013, semalam.

Jika sebelum datang ke Myanmar ini, nama Wei Feng dicanang-canang sebagai peluang terbaik Malaysia untuk membawa pulang emas, apa yang berlaku itu amat mengejutkan apatah lagi kalah kepada lawan yang tiada nama pun.

Ternyata Wei Feng mencari alasan kesihatan sebagai punca dia tewas kepada pemain tidak terkenal Thailand, Avihingsanon Suppanyu 19-21, 14-21 itu.

“Tahap kesihatan saya kurang baik sebelum datang ke Myanmar ini. Di samping itu saya banyak melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan itu,” katanya yang pernah menewaskan pemain yang sama dua kali sebelum ini.

Dengan kekalahan itu, harapan untuk meraih emas kini digalas seorang lagi pemain negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menang 21-12, 21-10 ke atas wakil Vietnam, Hoang Nam Nguyen dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki.

Pemain yang baharu sahaja dinaikkan pangkat ke dalam skuad elit negara itu bagaimanapun bakal diuji pemain Indonesia, Prasetyo Wisnu Yuli di suku akhir hari ini.

“Saya tidak sangka Wei Feng kalah memandangkan beliau adalah prospek utama untuk mengutip pingat namun saya sedia menggalas tugas bagi meraihnya untuk negara,” katanya.

Sementara itu, dua beregu lelaki negara, Lim Khim Wah- Ow Yao Han serta Goh V Shem-Teo Kok Siang turut beraksi cemerlang selepas menundukkan lawan-masing-masing untuk menempah slot ke suku akhir.

Khim Wah-Yao Han mengenepikan cabaran beregu Laos, D.Bounphasone-F.Phakornkham 21-11 dan 21-7 manakala V Shem-Kok Siang menundukkan wakil Filipina, Vivas Paul Jefferson-M. Peter Gabriel 21-12 dan 21-19.

Dua beregu wanita kebangsaan, Lee Meng Yean -Lim Yin Loo serta Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei pula tidak menghadapi masalah untuk mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Meng Yean-Yin Loo mengatasi wakil Laos, B. Lomany-V. Phonephan 21-13 dan 21-14 manakala Kah Mun-Khe Wei menundukkan pasangan Thailand, Lam Narissapat-Amitrapai Savitree 21-10 dan 21-15.

Yin Loo kemudiannya berganding dengan Ong Jian Guo dalam beregu campuran mengalahkan pasangan Laos, F. Phakornkham-L. Bouphakesone 21-17 dan 21-16 manakala gandingan negara Tan Aik Quan-Lai Pei Jing mengenepikan beregu tuan rumah, Aung Than Lwin-Zan Phu Pwint 21-12 dan 21-8.

Dalam pada itu, Yang Li Lian menjadi wakil tunggal negara yang meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir selepas seorang lagi wakil negara, Chiew Sien Lim kandas di pusingan awal perseorangan wanita.

Li Lian mara selepas mengalahkan wakil Laos, M. Manivone 21-5 dan 21-12 manakala Sien Lim terpaksa akur selepas kalah 10-21 dan 12-21 kepada pemain Thailand, O. Busanan.

Berdasarkan format pertandingan, pemenang pusingan pertama terus beraksi ke peringkat suku akhir. – Kosmo