Wakil FAM mungkin tarik diri daripada Jawatankuasa Pembangunan

Kuala Lumpur: Isu pelantikan Tan Sri Annuar Musa menganggotai Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara ‘semakin parah’ kerana wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut dilantik kemungkinan besar menarik diri daripada menyertai jawatankuasa berkenaan.

FAM terpaksa bertindak demikian kerana penyertaannya ke dalam jawatankuasa itu dikhuatiri melanggar peraturan yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ia juga seolah-olah mengiktiraf individu yang dikenakan tindakan penggantungan daripada aktiviti bola sepak oleh FAM.

Menurut sumber rapat dengan AFC, penyertaan FAM dalam jawatankuasa dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah salah kerana ia turut dianggotai individu yang masih dalam penggantungan daripada aktiviti bola sepak oleh badan induk bola sepak negara itu sendiri.

Tak boleh letak

“Pada dasarnya FAM tidak boleh meletakkan wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan.

“Jika wakil badan induk itu tidak menarik diri, FAM seolah-olah menyokong tindakan jawatankuasa berkenaan yang menyenaraikan Annuar yang masih menjalani penggantungan sehingga Oktober tahun depan,” katanya semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, apa pun semuanya terpulang kepada cadangan atau arahan yang akan dikemukakan Jabatan Undang-Undang AFC kepada FAM dalam beberapa hari lagi. – BH