Video – Penyamun libas parang

Klang: Sebuah kedai menjual telefon bimbit dan kad tambah nilai di Bandar Puteri, di sini, kerugian kira-kira RM4,000 disamun dua lelaki bersenjatakan parang, malam kelmarin.

Kejadian jam 7.30 malam berlaku satu minit 43 saat itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan rakamannya disebarkan melalui laman sosial.

Berdasarkan rakaman itu, seorang wanita dipercayai pekerja kedai berkenaan bertugas berseorangan di bahagian hadapan kedai apabila dua lelaki berusia antara 25 hingga 30 tahun masuk. Berdasarkan rakaman itu, pekerja berusia 20-an itu tidak menyangka dua lelaki itu berniat jahat dan terkejut apabila mereka mengeluarkan parang dari dalam baju.

Sebaik mengeluarkan parang, seorang daripada penjenayah memasuki ruang kaunter tempat telefon bimbit disimpan manakala rakannya menggeledah bahagian hadapan kaunter terbabit.

Seorang daripada mereka melibas parang ke arah pekerja kedai terbabit bagi menakutkan mangsa dan pada masa sama seorang pelanggan dilihat melarikan diri apabila mengetahui dua penjenayah berada dalam premis sebelum seorang daripada suspek keluar dipercayai meninjau keadaan.

Beberapa minit kemudian, lelaki terbabit masuk semula dan mengambil beberapa telefon bimbit dan mengarahkan rakannya mengambil kad tambah nilai serta wang tunai dalam laci kaunter.

Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan Proton Myvi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop mengesahkan kejadian itu berkata, kedua-dua lelaki itu melarikan wang tunai RM900, kad tambah nilai kira-kira RM1,800 serta 11 telefon bimbit pelbagai jenama.

“Usaha mengesan mereka kini giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Libas parang macam dalam video ni memang gila!