Usah campur urusan menteri dan FAM – Khairy

Kuala Lumpur: Orang luar tidak harus campur tangan urusan menteri dengan persatuan sukan kebangsaan!

Itu kesimpulan terbaik boleh dirumuskan andai berpandu kepada kenyataan tegas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung polemik membabitkan dirinya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

Reaksi berkenaan hadir berikutan kenyataan dibuat bekas kapten skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir yang menafikan beliau adalah ‘budak suruhan’ FAM susulan kritikan yang dilemparkan kepada Khairy sebelum ini.

“Jika beliau bukan ‘budak suruhan’ FAM, bukan pemimpin FAM, jadi jangan masuk campur. Ini antara menteri dengan FAM dan kalau tiada apa-apa jangan masuk campur,” kata Khairy ketika sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM), semalam.

Budak suruhan

BH Sukan semalam melaporkan Jamal menafikan sekeras-kerasnya beliau bukan ‘budak suruhan’ FAM seperti didakwa Khairy, sebaliknya menegaskan yang tindakannya hanya mahu meluahkan rasa kecewa terhadap Khairy yang berterusan mengkritik FAM.

Sebelum itu, Khairy menafikan kritikan berterusan yang dilemparkan kepada FAM disebabkan dendam ke atas individu tertentu dalam badan induk itu seperti mana yang dibangkitkan Jamal.

Sebaliknya, ia adalah keprihatinan beliau selaku menteri untuk melihat penambahbaikkan dilakukan FAM berdasarkan luahan yang disuarakan rakyat namun Jamal merasakan lebih elok Khairy duduk semeja dengan badan induk itu bagi menyelesaikan segala isu berbangkit berbanding mengkritik secara terbuka di media. – BH