Tuntutan gaji tinggi, Kelantan bakal hilang ramai tonggak

Selepas gagal kekal Piala Malaysia, Kelantan bakal hilang ramai tonggak utama musim depan

Sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas gagal mempertahankan Piala Malaysia, malam kelmarin, Kelantan terus dilanda duka apabila bakal kehilangan beberapa pemain tonggaknya musim depan kerana tidak mampu memenuhi tuntutan kenaikan gaji tinggi melebihi pemain import.

Perkara ini disahkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi laman sosial Facebooknya, semalam.

Beliau berkata, KAFA terpaksa melepaskan beberapa pemain tonggak The Red Warriors (TRW) musim depan kerana tidak mampu memenuhi tuntutan mereka yang mahukan gaji tinggi.

Annuar yang dianggap sebagai bapa pembangunan bola sepak Kelantan berkata, KAFA perlu diurus secara berhemat mengikut keupayaan dan tidak mampu menunaikan permintaan kenaikan gaji yang tinggi daripada pemain tempatan.

“Agak terkejut apabila ada pemain tempatan menuntut kenaikan gaji yang lebih tinggi daripada pemain import.

“Pemain tempatan atau import yang menuntut gaji terlalu tinggi dan di luar kemampuan terpaksa digugurkan.

“TRW akan diurus berdasarkan kemampuan sebenar. Kita terima realiti dan tidak akan meniru sesiapa,” katanya.

Difahamkan dua pemain sudah disahkan menyertai Johor Darul Takzim (JDT) musim depan – S Subramaniam dan Daudsu Jamaluddin manakala Norfarhan Muhammad, Azizi Matt Rose dan Shakir Shaari masih di peringkat rundingan. – BH