Tembak hantu sebelah rakan, Lans Koperal Diperintah Ke Tanjung Rambutan

ALOR SETAR, 28 Nov (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini Khamis memerintahkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal, yang menembak rakan setugasnya dan menyebabkan kematian mangsa tahun lepas, ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Hulu Kinta, Perak sehingga mendapat perkenan Sultan Kedah untuk dibebaskan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Rosli Abu Hassan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata keadaan mental tertuduh tidak stabil ketika kejadian sehingga menyebabkan kematian Muhammad Sobri Md Sidek, 25.

Rosli, 27, didakwa melakukan perbuatan itu di depan pintu masuk utama Istana Anak Bukit di sini pada kira-kira 5.45 petang pada 26 April 2012 menggunakan raifal M16 dibekalkan kepadanya bagi mengawal istana berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Zaki berkata Rosli memberi keterangan bahawa dia berada dalam keadaan tidak sedar serta tidak tahu apa yang dilakukannya malah mendakwa semasa kejadian, dia nampak ada hantu di sisi mangsa dan tidak ingat apa yang berlaku selepas itu.

“Dakwaan ini disokong dengan laporan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Datuk Dr Suarn Singh Jasmit Singh yang menyatakan tertuduh semasa kejadian mengalami Skizofrenia,” katanya.

Pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ab Rashid mengemukakan 13 saksi manakala peguam P Ashokumar memanggil empat saksi termasuk seorang pakar psikiatri.

Sementara itu, Rosli yang sempat ditemui pemberita bersyukur terlepas hukuman gantung dan berkata dia sedia menjalani rawatan di Hospital Bahagia.

“Saya bersyukur dan tidak sabar untuk pulang ke rumah selepas menjalani rawatan,” katanya.

Isterinya, Azlin Rahman, 28, pula berkata naluri beliau yang merasakan Rosli akan dibebaskan menjadi kenyataan.

Ibu Rosli, Chekunea Merah, 53, berkata beliau tidak henti-henti berdoa agar anaknya itu dibebaskan sejak didakwa membunuh rakannya. — BERNAMA