Tak salah minta gaji lebih – Hai-O

pfam hairuddin omar

Kuala Lumpur: Tidak salah minta gaji lebih tetapi perlu pastikan prestasi setimpal dengan bayaran yang diterima.

Itu pendapat Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar (gambar) ketika diminta mengulas berkenaan isu pemain tempatan menuntut gaji lebih tinggi berbanding pemain import.

“Kita tidak boleh salahkan pemain dalam hal ini kerana jika pasukan lain mampu menawarkan gaji lebih tinggi untuk khidmat mereka, mengapa mereka tidak boleh menuntut jumlah yang sama dari pasukan asal,” kata Hairuddin yang beraksi untuk Tentera.

“Kalau kita lihat senario bola sepak tempatan sekarang, peminat mula membuka mata dan memenuhi stadium manakala pihak korporat pula semakin berminat untuk tampil sebagai penaja. Ini bukti industri bola sepak kita semakin berkembang.

“Jadi pemain sebagai teras kepada perkembangan ini, perlu mendapat ganjaran setimpal dengan sumbangan mereka. Namun pada masa sama mereka perlu membuktikan aksi ditampilkan sesuai dengan gaji yang diterima.”

Hak yang mampu

BH Sukan semalam melaporkan, juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim ini, Kelantan mungkin terpaksa melepaskan beberapa tonggaknya kerana Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak dapat memenuhi tuntutan gaji pemainnya untuk musim baru.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihak pengurusan terpaksa melepaskan beberapa pemain tonggak The Red Warriors (TRW) musim depan kerana tidak mampu memenuhi tuntutan mereka yang mahukan gaji tinggi – termasuk ada yang melebihi jumlah dibayar kepada pemain import.

“Sebenarnya jika pasaran pemain tempatan meningkat, lebih ramai pemain luar yang berkualiti akan tertarik untuk datang ke sini,” kata Hairuddin yang merasakan tindakan pemain menuntut gaji lebih tinggi adalah tepat demi masa depan mereka.

“Dalam menuju ke era profesional, kita perlu menjadi profesional dalam semua aspek termasuk pengurusan, gaji pemain, kejurulatihan dan permainan.”

Sementara itu Hairuddin menyeru lebih ramai pemain profesional tempatan mendaftarkan diri dengan PFAM kerana selain menjaga kebajikan mereka, persatuan itu turut menawarkan banyak manfaat lain menerusi aktiviti dijalankan.