Suspek Bunuh Pegawai AmBank Jadikan Rumah Kosong Lokasi Persembunyian

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Suspek kes bunuh dan rompak pegawai AmBank di Subang Jaya menjadikan bangunan serta rumah kosong sebagai lokasi persembunyian selama 19 hari ketika dalam buruan polis.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata suspek bersembunyi di beberapa buah rumah serta bangunan kosong sekitar Lembah Klang dan Johor.

“Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi untuk keluar dari Lembah Klang menuju ke Johor sejurus selepas kejadian pada 23 Okt lepas.

“Ketika berada di sana (Johor), suspek juga cuba mendapatkan bantuan sindiket pemalsuan dokumen pasport bagi melarikan diri ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Suspek ditahan di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor kira-kira 7 pagi hari Ahad.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam twitter beliau hari ini, memaklumkan bahawa suspek ditahan di Johor serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu polis.

Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Beliau direman bermula hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perintah reman itu dikeluarkan pada pukul 3.40 petang ini oleh Majistret Nazri Omran di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Pengawal keselamatan yang juga suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi AmBank di Subang Jaya bulan lalu dikawal ketat anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi mendapatkan tahanan reman, hari ini.

Dalam kejadian 23 Okt lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak suspek ketika membuka peti besi dalam bilik kebal bank berkenaan.

Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan ‘pump gun’ oleh suspek.

Suspek turut melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000.

Sementara itu, Polis sedang memburu seorang lagi rakan jenayah suspek utama yang dipercayai perancang kes tembak pengawai AmBank sebelum melarikan wang tunai RM450,000 tiga minggu lalu.

Ketu Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan, lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Juma dipercayai masih berada di negara ini.

Beliau turut mengesahkan nama sebenar suspek utama Ardi Hamza ialah Loade Ardina Loade Rasila, 35, berasal dari Sulawesi, Indonesia.  — BERNAMA