Skuad ‘eksperimen’ Jerman ke Wembley

LONDON – Bukan saja tidak ramai penyokong Jerman berminat untuk datang ke Wembley, malah tonggak utama mereka juga memilih untuk tidak beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang England, pagi esok.

Pertemuan dengan The Three Lions sebaliknya hanya digunakan oleh pengendali Jerman, Joachim Low sebagai eksperimen, di mana dua tonggak Bayern Munich, Philip Lahm dan Manuel Neuer direhatkan, begitu juga bintang tengah Arsenal, Mesut Ozil.

Low sebelum ini sudah pun kehilangan dua bintang tengah, Bastian Schweinsteiger dan Sami Khedira akibat kecederaan.

Schweinsteiger belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali, manakala Khedira selamat menjalani pembedahan lutut semalam dan dijangka sempat sembuh untuk beraksi pada Piala Dunia 2014.

Sejak awal lagi Low mahu menggunakan pertemuan dengan Jerman untuk melakukan eksperimen dan beliau tidak mahu berganjak daripada perancangan itu, biarpun kehilangan Khedira.

“Perlawanan ini merupakan peluang terbaik kami untuk menguji taktikal yang berbeza dan melihat bagaimana persiapan menghadapi Piala Dunia.

“Lahm, Neuer dan Ozil tidak akan diturunkan menentang England.

“Pada masa ini, adalah lebih penting memberi peluang kepada pemain lain menunjukkan kemampuan beraksi di beberapa posisi menentang pasukan seperti England,” kata Low.

Keputusan Jerman untuk sekadar menurunkan skuad kedua menentang England dianggap seperti penghinaan buat Three Lions, malah Lahm dan penjaga gol, Neuer tidak kisah tidak dibawa bersama ke London.

Mereka diberi keizinan untuk kekal di Jerman bagi melakukan persiapan menghadapi perlawanan besar Bundesliga hujung minggu ini, di mana Bayern akan menentang Borussia Dortmund.

Tindakan untuk merehatkan Ozil pula satu berita baik buat pengendali Arsenal, Arsene Wenger selepas dia mempamerkan persembahan cemerlang pada awal musim bersama Gunners. Low akan membawa trio Dortmund, Marco Reus, Roman Weidenfaller dan Marcel Schmelzer untuk perlawanan esok.

Penyokong Jerman sebelum ini turut memberi penghinaan buat England apabila kurang daripada 1,000 tiket yang disediakan kepada mereka dibeli.

Keputusan Low juga kontras dengan rakan sejawatnya di England, Roy Hodgson yang memanggil beberapa tonggak utama selepas kekalahan memalukan 0-2 kepada Chile dalam aksi persahabatan, minggu lalu.

Penjaga gol yang di bawah pemerhatian, Joe Hart dan pertahanan kiri, Ashley Cole kembali disenarai selepas eksperimen yang cuba dilakukan Hodgson pada pertemuan dengan Chile tidak menjadi.

“Apabila anda menyarung jersi England, sama ada ia berwarna putih atau jersi penjaga gol, anda terpaksa mengharungi ujian mental dan tekanan yang bukan sedikit.

“Tetapi, saya yakin sepenuhnya bahawa Joe memahami situsai tersebut dan bersedia untuk melalui ujian getir itu.

“Apa yang boleh saya lakukan ialah memberinya peluang untuk beraksi dan selepas itu terpulang kepada dirinya bagaimana untuk menangani tekanan tersebut,” kata Hodgson. – AGENSI