Sepanyol pilihan, Rooney mampu berganding dengan Sturridge

LONDON – Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge memuji bintang penyerang Manchester United, Wayne Rooney dan berkata, pemain itu mampu menjadi gandingan terbaiknya dalam skuad kebangsaan England.

Sturridge berkata, sewaktu baru menyertai Chelsea, dia telah meletakkan sasaran yang terlalu tinggi sehingga sukar untuk dicapai oleh orang lain sekali pun.

Namun, Sturridge kini sudah boleh membuktikan yang dia kini mampu berjalan sering dengan pemain lain dan bintang England itu menyasarkan untuk mengetuai jentera serang pasukan bimbingan Roy Hodgson di Brazil.

Empat tahun lalu, selepas meninggalkan Manchester City untuk menyertai Chelsea, Sturridge meletakkan sasaran untuk menjadi pemain handalan dalam sukan bola sepak pada satu hari nanti.

Katanya: “Saya tidak percaya yang saya mampu menjadi salah seorang pemain yang hebat, tetapi saya amat berharap dapat berbuat demikian. Jika seseorang pemain itu berkata dia tidak mahu menjadi pemain yang hebat, maka dia berbohong kerana semua orang mahu mencipta namanya dalam sukan bola sepak.”

Sturridge yang hanya mampu tersenyum apabila mengenangkan kembali keyakinan dirinya ketika zaman remajanya, mengakui dia masih mendapati dirinya dipanggil ‘Dean’ oleh penyokong yang keliru dengan bapa saudaranya iaitu bekas penyerang Derby.

Namun, sejak berpindah ke Anfield pada Januari lalu, Sturridge telah pun meledakkan 21 gol dalam 29 penampilan.

Daniel Sturridge

Dia yang bergandingan dengan Luis Suarez dan meletakkan dirinya sebagai pemain pilihan utama Roy Hodgson untuk menyarung jersi No 9, bakal menjadi teraju di bahagian serangan menentang Jerman, esok.

Sturridge yang berterima kasih kepada Chelsea, Bolton – terutama bekas bosnya, Owen Coyle dan Liverpool kerana membantu meningkatkan permainannya menegaskan, dia masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk menjadikan aksinya lebih sempurna.

Mengulas mengenai gandingannya bersama Rooney, Sturridge yang masih kecewa kerana diketepikan sewaktu perlawanan persahabatan menentang Brazil di Rio, memberitahu, dia menyimpan impian untuk membentuk satu kerjasama mantap dengan Rooney.

Sturridge berkata: “Rooney merupakan pemain kelas dunia dan mudah untuk bermain dengannya. Saya seronok bergandingan dengannya. Kami saling melengkapi antara satu sama lain. Dalam latihan, kami seperti tidak perlu terlalu bekerja keras. Kami tahu di mana kami berada.

“Saya benar-benar mahu beraksi menentang Brazil bagi mempamerkan bakat saya. Para pemain telah bermain dengan baik, tetapi secara peribadi saya amat kecewa. Apabila peluang itu datang, anda perlu tunjukkan kemampuan diri anda. Saya bermain secara semula jadi dan melakukan sesuatu yang spontan.”

Sementara itu, Wayne Rooney menyifatkan Sepanyol masih pasukan paling kuat dan memberi ancaman utama dalam kancah bola sepak antarabangsa.

Pada masa yang sama England juga, kata Rooney, telah bersedia menentang musuh lama, Jerman di Wembley, esok.

Jerman menjadi pilihan ramai menggantikan Sepanyol selaku kuasa bola sepak Eropah menjelang pusingan akhir Piala Dunia di Brazil tahun depan.

Anak-anak buah Joachim Loew terdiri daripada pemain muda yang berbakat yang diambil daripada kelab-kelab terbaik Jerman termasuk Bayern Munich.

Meskipun akur dengan kelebihan bakat yang dimiliki pemain-pemain Jerman, Rooney bagaimanapun masih tidak berganjak dengan pandangannya bahawa Sepanyol masih hebat dan sukar ditandingi.

”Saya memilih Sepanyol kerana mereka adalah juara dunia dan Eropah. Namun, Jerman merupakan pasukan yang hebat dan memiliki pemain-pemain yang hebat. Ini (perlawanan) akan menjadi ujian paling besar buat kami (England),” kata Rooney.

Link live streaming di sini.