Senjata dijumpai di stadium bukan milik polis, Khairy bidas FAM

Shah Alam: Polis Selangor mengesahkan sepucuk pistol jenis Browning dan tujuh butir peluru yang ditemui dalam tandas di Stadium Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala Malaysia Ahad lalu, bukan milik anggota pasukan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan kehilangan pistol daripada anggota yang bertugas mengawal keselamatan sepanjang perlawanan akhir antara Kelantan dan Pahang berlangsung.
Usaha kesan pemilik

Sehubungan itu, katanya, usaha mengesan pemilik pistol berkenaan masih dijalankan, termasuk motif senjata api itu dibawa ke stadium.

“Kita tidak tahu lagi siapa pemilik pistol berkenaan. Polis tidak ada terima laporan kehilangan pistol. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar semalam melaporkan polis menemui sepucuk pistol jenis Browning dan tujuh peluru dalam tandas di Stadium Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala Malaysia.

Senjata api itu dijumpai pada jam 9.30 malam oleh seorang anggota polis yang kebetulan mahu menggunakan tandas.

Polis turut menahan 86 orang kerana membawa tiket palsu dan lima yang lain kerana menyalakan suar, membakar mercun dan membaling botol.

Seramai 85,000 penonton menyaksikan perlawanan akhir bola sepak itu.

Polis turut melakukan pemeriksaan badan menggunakan alat pengimbas terhadap penyokong kedua-dua pasukan sebelum membenarkan mereka memasuki pekarangan stadium bagi mengelakkan mereka membawa senjata berbahaya.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menuding jari ke arah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan penemuan sepucuk pistol dan tujuh butir peluru di dalam tandas Stadium Shah Alam ketika final Piala Malaysia, Ahad lalu.

“Saya terperanjat dengan laporan hari ini (semalam) yang menyatakan terjumpa pistol dalam stadium kerana ini satu perkara amat serius dan kelemahan di peringkat penganjur.
“Jika pistol ada sebelum penonton masuk, maksudnya jawatankuasa keselamatan tidak buat kerja kerana tidak semak kemudahan dengan teliti termasuk di tandas.

“Jika dibawa masuk selepas penonton masuk (stadium), maka jawatankuasa pun gagal sebab tidak memeriksa penonton sebelum mereka masuk,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Menembak Asia Tenggara ke-37, semalam.

Khairy berkata, beliau berharap pihak polis menjalankan siasatan rapi dibuat terhadap penemuan pistol itu dan FAM juga tidak boleh lepas tangan dengan kegagalan mereka mengesan senjata yang boleh memudaratkan orang ramai.

Zaman ‘jurasic’

“Jika pistol berjaya dibawa masuk sementara pada masa yang sama, beberapa penahan dilakukan kerana ada penonton yang cuba menyeludup masuk bunga api dan sebagainya, tetapi pistol pula di bawa masuk, maka saya rasa ia kegagalan besar dan serius,” katanya.

Mengenai masalah tiket palsu dan ‘ulat tiket’ semasa final itu, Khairy sekali lagi menyalahkan FAM yang tidak mahu berubah dalam sistem penjualan tiket.

“Saya cadangkan perlu ada sistem baru kerana sekarang ini sudah di abad ke-21, maka kita boleh jual secara dalam talian. Kena ada sistem berbeza pada hari ini bagi membanteras ulat tiket. Takkan tiap-tiap tahun masalah ini timbul.

“Saya tahu ini di bawah FAM dan bukannya bawah kementerian, tapi saya sebagai menteri kena tegur FAM sebab ini yang menyebabkan penonton dan peminat bola sepak mengeluh. Lagi pun, zaman sekarang zaman teknologi, tapi FAM masih di zaman ‘jurasic’,” katanya. – BH