Selangor dapat ‘sentuhan import’ Australia, Brazil

Kuala Lumpur: Selepas tiga musim tanpa sebarang piala, Selangor bakal berwajah baru untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim 2014 dan saingan Piala AFC 2014 apabila menampilkan gabungan ‘sentuhan import’ dari Australia dan Brazil.

Selepas menandatangani kontrak tiga tahun dengan bekas pemain import mereka era 1990-an dari Australia, Mehmet Durakovic, 48, untuk bergelar ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan menggantikan Irfan Bakti Abu Salim, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dikhabarkan sudah menandatangani dua pemain import dari Brazil.

Mereka bekas penyerang import Perak musim ini, Paulo Rangel, 28, serta pemain tengah, Junior Aparecido Guimaro de Souza atau lebih dikenali sebagai Juninho, 24, yang beraksi bersama TOT SC dalam saingan Liga Thailand.

“Seorang lagi pemain import iaitu bagi kuota Asia akan diisi seorang pemain pertahanan dari Australia yang akan dibawa sendiri oleh Mehmet. Salah satu nama yang dicadangkan pemain pertahanan Melbourne Victory, Adrian Leijer yang berusia 27 tahun,” kata sumber rapat FAS ketika dihubungi, semalam.

‘Messi’ belum pasti

Ditanya pula mengenai desas desus pemain sayap lincah Indonesia, Andik Vermansyah, 22, yang digelar ‘Messi Indonesia’ beraksi bersama Red Giants, sumber itu menyatakan Selangor hanya akan menawarkan kontrak kepada pemain itu jika Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meluluskan untuk membenarkan empat pemain import musim depan.

“Setakat ini, kami belum dengar apa-apa keputusan daripada FAM. Jika kekal hanya tiga import, hanya dua pemain Brazil dan seorang dari Australia yang akan menyarung jersi Selangor. Jika ada tambahan seorang lagi, baru kami akan mendapatkan Andik,” jelasnya. – BH