Seladang buru kapten Myanmar

TEKA-teki siapa yang bakal mengisi kekosongan kuota pemain import skuad Seladang pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan bagi menggantikan Paulo Rangel dan Rafael Souza terjawab semalam.

Perak kini sedang mengadakan perbincangan dengan kapten skuad Myanmar, Kyaw Zayar Win dan masing-masing seorang dari Syria dan Ghana.

Pengurus baharu skuad Seladang, Datuk Azhar Ahmad berkata, Zayar Win merupakan tonggak utama skuad Myanmar yang muncul naib juara Pestabola Merdeka di Kuantan pada September lalu.

“Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sedang mengadakan rundingan akhir dengan ejen pemain tersebut sebelum menandatangani kontrak bersama mereka.

“Kita juga sedang mengadakan perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemain Pahang yang beraksi dalam final Piala Malaysia pada Isnin lalu, Hafiz Kamal,” katanya ketika ditemui pada sesi pemilihan terbuka pemain Perak di Stadium Perak di Ipoh semalam.

Kyaw Zayar Win

Jelas beliau, jika semua rundingan berjalan lancar, mereka merupakan antara pemain yang bakal memantapkan skuad Perak yang kehilangan lebih daripada separuh pemainnya yang menyertai pasukan lain.

“Hafiz merupakan pemain kelahiran Perak dan kita sedang mengadakan rundingan dengan majikannya untuk membawa dia beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya.

“Selain pemain import, skuad Perak akan menggunakan khidmat pemain-pemain skuad Piala Presiden, juga pemain kelahiran Perak yang akan dipilih melalui sesi pemilihan terbuka yang sedang dijalankan sekarang,” katanya.

Azhar yang menggantikan tugas yang sebelum ini disandang Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun, mengakui beliau berpuas hati dengan sambutan luar biasa yang diterima pada sesi pemilihan terbuka yang dijalankan itu.

Katanya, kehadiran lebih 500 orang pada hari pertama dan kedua sesi pemilihan jelas membuktikan isu dakwaan rasuah melibatkan skuad Seladang sebelum ini tidak menjejaskan minat pemain untuk mencuba nasib.

“Kita akan pastikan hanya yang terbaik dipilih menyarung jersi Perak dan jika masih terdapat kekosongan, PAFA berkemungkinan akan mengadakan pemilihan terbuka di daerah-daerah.

“Pasukan ini akan dibarisi 60 peratus pemain baharu memandangkan hanya 10 pemain lama dikekalkan bagi mengharungi saingan musim depan,” katanya.

Antara yang menyertai sesi pemilihan termasuk bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Mohd. Tuah Iskandar Jamaluddin, pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Syafiq Samad dan pemain-pemain dari pasukan berstatus kelab seperti T-Team, Felda United, PKNS dan UiTM yang mencari haluan baharu musim depan.

Sebelum ini, PAFA mengumumkan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias dan Abdul Hadi Yahya serta ketua pasukan, Shahrulnizam Mustafa antara 12 pemain yang meninggalkan skuad itu.

PAFA juga mengumumkan bekas pemain Perak, Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih menggantikan Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menamatkan kontrak lebih awal bersama Perak, baru-baru ini.