Sambutan meriah Juara Piala Malaysia, Perarakan seluruh negeri

KUANTAN – Ribuan penyokong yang datang dari seluruh pelosok negeri sanggup menunggu lebih dua jam untuk menyambut kepulangan wira-wira Tok Gajah yang membawa pulang Piala Malaysia ke Pahang selepas 21 tahun, semalam.

Walaupun tanpa sambutan rasmi, kepulangan pemain yang menaiki bas dinantikan lebih 1,000 peminat yang berkumpul di Stadium Darul Makmur, Kuantan sejak pukul 5 petang lagi.

Mereka langsung tidak berganjak biarpun pengumuman dibuat bahawa sambutan rasmi ketibaan pemain dan Piala Malaysia dibatalkan, malah bas yang membawa pasukan hanya tiba pada jam 7.30 malam.

Kelihatan 50 buah motosikal berkuasa tinggi dan 30 buah kereta turut mengiringi ketibaan pemain yang bertolak dari ibu negara pada pukul 2.30 petang.

Penyerang Tok Gajah, Mohd. Fauzi Rozlan mengakui teruja dengan sambutan peminat.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh peminat Pahang yang sentiasa memberi sokongan padu sehingga Piala Malaysia berjaya menjadi milik Tok Gajah.

“Syukur Alhamdulilah, Pahang berjaya menjuarai Piala Malaysia dan mengulangi sejarah 1992,” katanya.

Bagi peminat setia Tok Gajah, Zulkarnain Osman, 31, dari Felda New Zealand, Maran, dia sanggup datang berkonvoi bersama ahli keluarga semata-mata mahu menyambut kepulangan Piala Malaysia.

“Saya sangat berbangga dengan kemenangan ini dan teruja untuk bersama rakyat Pahang menyambut ketibaan piala yang menjadi idaman,” katanya.

Rozita Abdullah, 40, dari Tanah Putih Baru, Kuantan tidak berganjak dari pekarangan stadium walaupun dimaklumkan sambutan rasmi ketibaan pasukan dibatalkan.

“Saya yakin mereka tetap akan datang. Akhirnya selepas beberapa jam menanti, Pahang muncul tanpa menghampakan peminat,” ujarnya.

Sementara itu, Azrul Affandi Abdul Rahman, 20, dari Sungai Isap, Kuantan berharap kejayaan ini menjadi pemangkin buat Pahang terus menjadi pasukan digeruni.

“Ayuh Tok Gajah! Saya harap Pahang akan lebih matang dan memantapkan corak permainan pada masa akan datang demi mengekalkan kejuaraan,” ujarnya.

Terdahulu, pemain Pahang turut menerima sambutan hangat ketika mereka berhenti rehat di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Termerloh.

Walaupun hanya singgah kira-kira 20 minit, namun keterujaan peminat cukup tinggi dengan ramai yang tidak melepaskan peluang bersalaman dan bergambar dengan pemain Pahang.

Antara menjadi tumpuan, penjaring gol tunggal, Matias Conti dan penjaga gol Khairul Azhan Mohd. Khalid.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain berkata, kerajaan negeri akan mengadakan majlis khas bagi meraikan para pemain pada 8 November ini di Stadium Darul Makmur.

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) tetap akan mengadakan perarakan Piala Malaysia ke seluruh negeri berkenaan.

“Saya ingin jelaskan disini, tiada timbul isu penundaan. Ia akan tetap diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan nanti,” jelas Setiausaha Agung PBNP, Fuzzemi Ibrahim di Kuantan semalam.

Menurutnya, PBNP sedang merangka satu program rasmi berhubung majlis perarakan itu.

“Kejayaan skuad Tok Gajah menjulang Piala Malaysia 2013 merupakan hadiah terbaik buat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang menyambut Hari Keputeraan ke-83 pada 24 Oktober lalu, katanya.”

PBNP masih menunggu titah Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sebelum mengadakan perarakan penuh gemilang ke seluruh negeri Pahang.

“Saya tidak tahu atau tidak dimaklumkan bahawa perarakan kami ditunda. Sebaliknya, PBNP masih belum ada program rasmi mengenai hal ini.

“Saya masih belum dimaklumkan oleh Presiden PBNP (Tengku Rahman). Apa yang pasti, Presiden akan merancang perarakan ini dalam tempoh terdekat.

“Buat masa ini, jelajah tersebut ditangguh bagi menghormati kedatangan tahun baharu Hijrah pada esok (hari ini),” katanya.