Safee Sali bengang Harimau Malaya dikritik Zolkples

PENYERANG Harimau Malaya, Safee Sali menegaskan, sudah tiba masanya pasukan kebangsaan memerlukan sokongan padu dari semua pihak, bukannya kritikan yang tidak berkesudahan.

Safee yang baru pulang daripada Manama, kelmarin selepas menyaksikan skuad negara tewas 0-1 kepada Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015, mengakui tidak mampu lagi menahan sabar dengan setiap kritikan yang tidak berasas.

Bintang Johor Darul Takzim yang dikaitkan bakal kembali ke Selangor pada musim depan itu menambah, Harimau Malaya kini terdesak untuk mempamerkan prestasi lebih memberangsangkan.

Justeru, Safee menganggap ia seperti satu perbuatan tidak adil bagi pasukan kebangsaan yang sering kali tidak mendapat sokongan moral daripada semua pihak.

“Bagi saya, tak payah nak kritik skuad kebangsaan. Sepatutnya mereka berikan sokongan moral.

“Pasukan ini tengah kalah dan moral skuad kebangsaan tidak begitu baik. Kami turun bermain bermati-matian untuk negara.

Instagram Safee Sali

“Tiada siapa hendak kalah dan kami amat bencikan kekalahan. Beginilah nasib Harimau Malaya, bila menang semua nak dekat tetapi bila kalah, semua nak menjauh,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengakui memang tidak meletakkan harapan tinggi terhadap Harimau Malaya yang mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Ini kerana Zolkples menganggap, peluang Harimau Malaya untuk merebut slot automatik Piala Asia semakin samar berdasarkan prestasi hambar skuad kendalian Datuk K. Rajagobal.

Tambah Safee, dia berharap peminat-peminat Harimau Malaya akan terus memberikan sokongan padu ketika skuad negara dalam misi memburu kemenangan pada aksi menentang Qatar di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

“Kami amat menagih sokongan padu daripada seluruh penyokong-penyokong. Pasukan ini mahu memberikan sesuatu kepada peminat-peminat pada aksi bertemu Qatar nanti.

“Saya berharap dengan sokongan ini dapat memberikan kami lebih semangat untuk tampil aksi lebih baik,” katanya. – Kosmo!