Remaja buat gila dalam drama rampasan kereta di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Dua keluarga melalui detik cemas apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melarikan dua kereta bersama anggota keluarga mereka dalam dua kejadian di Dungun semalam.

Remaja tersebut bertindak gila apabila melarikan sebuah Nissan Grand Livina yang masih ada penumpang di dalamnya sebelum merempuh lori muatan tanah dan kemudian merampas pula sebuah Perodua Myvi yang dinaiki satu keluarga dalam drama rampasan kenderaan selama kira-kira dua jam, petang kelmarin.

Kejadian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Pantai Timur di Bukit Besi-Ajil itu yang bermula pukul 5 petang menyebabkan Abdul Pirhat Karim, 34, dan isteri, Che Mastura Che Awang, 31, cedera.

Anak mereka, Muhammad Ashraf Ikhwan yang berusia sembilan bulan koma dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. Che Mastura yang patah tulang rusuk juga dirawat di hospital sama.

Difahamkan remaja berusia 17 tahun terbabit sebelum itu cuba merampas kunci sebuah Proton Pesona di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil, Hulu Terengganu tetapi dihalang pemilik kenderaan itu.

Che Mastura dikejarkan ke hospital

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, suspek dikatakan tiba-tiba memasuki Nissan Grand Livina terbabit dan memecut laju menghala ke arah Kuantan selepas pemilik kenderaan itu bersama isterinya keluar untuk membuang air kecil di tandas R&R berkenaan.

Ketika kejadian, kenderaan berkenaan mempunyai penumpang iaitu pasangan Pirhat Karim, 34, dan isteri, Che Mastura Che Awang, 31, serta bayi lelaki mereka Muhammad Asyrat Ikhwan, sembilan bulan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, kejadian bermula apabila remaja tersebut melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang berhenti di kawasan R&R itu bersama sepasang suami isteri dan bayi mereka di dalam kenderaan itu.

Keadaan MPV Grand Livina yang remuk selepas kemalangan di Jalan Jerangau-Jabor

“Ketika kenderaan itu berhenti di kawasan berkenaan, pemandu kereta itu bersama isteri, kedua-duanya anggota polis dari Brickfields, ke tandas meninggalkan abang dan kakak ipar mereka iaitu Abdul Pirhat dan Che Mastura bersama bayi itu di dalam kereta.

“Keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas mereka menziarah keluarga di Tumpat, Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bayi itu semalam.

“Pengalaman menakutkan ini adalah mimpi ngeri buat kami tiga beranak, apabila terpaksa berdepan dengan penjenayah.

“Saya tidak sangka dia berani masuk ketika kami ada dalam kereta dan kemudian memecut sehingga terbabit kemalangan,” kata Abdul Pirhat Karim, 35, mengimbas kejadian kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand Livina, miliknya dilarikan seorang remaja, petang kelmarin.

Abdul Pirhat berkata, kejadian berlaku jam 5.30 petang ketika dia bersama isteri, Che Mastura Che Awang, 31, dan bayi mereka, Muhammad Asyrat Ikhwan, sembilan bulan, bersama dua ipar singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil, Hulu Terengganu.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas pengebumian nenek yang meninggal dunia di Tumpat, Kelantan, kereta saya dipandu adik ipar dengan isterinya duduk di depan.

“Ketika singgah di R&R Ajil, adik ipar dan isterinya ke tandas sebelum secara tiba-tiba remaja itu menceroboh masuk dan memecut kereta kami menghala ke arah Kuantan,” katanya.
Cuba pujuk suspek

Katanya, sepanjang perjalanan beliau berusaha memujuk remaja terbabit supaya tidak melakukan sesuatu yang membahayakan isteri dan bayinya.

“Remaja itu tidak peduli, menyebabkan saya bergelut dengannya sebelum hilang kawalan dan terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dan lori ketika tiba berhampiran Ladang Gajah Mati,” katanya.

Akibat kemalangan jam 6 petang itu, Abdul Pirhat retak bahu kiri, manakala isterinya, patah tulang rusuk, sementara bayi mereka yang tercampak masih koma dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Kenderaan milik Pirhat

Selepas kemalangan itu, remaja terbabit yang terselamat turun menahan sebuah PERODUA Myvi dan berpura-pura mahu mendapatkan bantuan akibat kemalangan.

Ketika pemandu PERODUA Myvi itu, Nur Maizura Mustafa Kamal, 18, bersama bapanya, Mustafa Kamal Bakar, 55, turun membantu tiga beranak terbabit, suspek mengambil kesempatan melarikan kereta mereka ke arah Kuala Terengganu bersama empat penumpang yang duduk di belakang.

Mustafa Kamal bersama seorang pengguna jalan raya mengejar suspek sambil menghubungi bantuan polis.

Dua kereta peronda dari Balai Polis Kuala Terengganu dan Batu Rakit berhasil memintas Myvi dilarikan suspek sebelum menahannya di hadapan Masjid Al Salam, Batu Rakit, Kuala Terengganu jam 6.45 petang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata suspek berusia 17 tahun itu dipercayai mempunyai masalah mental dan siasatan awal menunjukkan dia mahu mencuri kereta.

“Polis sedang menyiasat latar belakang suspek selepas ujian kencing mendapati dia negatif dadah. Suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan menunggu laporan kesihatan mengenai status mentalnya,” katanya.