Ramai cedera, Misi sukar di Bahrain

KUALA LUMPUR – Melihat kepada rekod buruk dalam aksi persahabatan mahu pun perlawanan di tempat lawan sepanjang tahun ini, Harimau Malaya jelas bukan pasukan pilihan apabila menentang pendahulu Kumpulan D, Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015 di Riffa, hari ini.

Selepas nyaris tersungkur sebelum seri 1-1 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober lalu, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal berdepan tugas sukar untuk mengekang skuad bimbingan Anthony Hudson.

Masih kecewa dengan kekalahan 3-0 kepada Kuwait dalam aksi persahabatan minggu lalu, Malaysia juga mengharapkan tuah jika mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Nasional itu.

Tambah mencemaskan keadaan, Harimau Malaya mungkin tidak dapat menggunakan khidmat ketua pasukan dan bintang tengah Safiq Rahim yang tidak berada di tahap 100 peratus cergas bagi menghadapi skuad Al Ahmar atau Si Merah itu.

Turut menyertai senarai kecederaan itu ialah empat benteng, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak, Amiridzwan Taj Tajuddin, Razman Roslan dan Fadhli Shas serta sayap kanan, dan S. Kunanlan.

Kunanlan dan Razman cedera buku lali manakala yang lain dihimpit masalah kecederaan lutut.

Harimau Malaya pula terpaksa beraksi di gelanggang lawan – Stadium Nasional Manama yang tentunya cabarannya lebih menyukarkan.

Dengan menduduki tangga ketiga Kumpulan D selepas mengumpul empat mata, pastinya memberi lebih tekanan kepada pemain lebih-lebih lagi perlawanan itu menjadi aksi ‘hidup mati’ buat skuad negara.

Namun berita bahawa tuan rumah turut kehilangan tonggak utama seperti Hussain Baba, Sayed Dhiya Saeed, Abdulwahab Al Malood dan Ali Ghaleb, mungkin sedikit melegakan Rajagobal mahupun menjadikan keadaan seimbang semula.

Bagi Hudson, hanya meraih tiga mata di Riffa kali ini mampu menebus kekecewaannya selepas gagal membawa pulang tiga mata dari Shah Alam, bulan lalu.

Pada perlawanan itu, bintang penyerang Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha berjaya meledakkan gol penyamaan pasukan negara.

Media Bahrain pula dikatakan memperlekehkan kemampuan anak-anak buah Rajagobal tanpa menyedari pasukan pelawat kali ini bakal tampil dengan beberapa muka baharu yang dianggap lebih baik dari di Shah Alam.

Namun jika berjaya mencuri satu mata di Riffa dan dibantu dengan kejutan Yemen ke atas Qatar di Al Ain, Malaysia bakal mencerahkan kemaraan ke pusingan akhir di Australia biarpun dari tempat ketiga Kumpulan D.

Berjaya mengutip sekurang-kurangnya satu mata bakal menjadi penyuntik semangat buat skuad Harimau Malaya sebelum menerima kunjungan Qatar di Shah Alam, Selasa depan.

Anak-anak buah Rajagobal itu tewas 2-0 kepada Qatar pada perlawanan pertama mereka di Doha, Februari lalu.

Live streaming di sini