Rajagobal kekal optimis, Zolkples sudah jangka kalah

JURULATIH Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal belum berputus asa biarpun menyedari peluang skuad kendaliannya untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 semakin samar ekoran kekalahan 0-1 kepada Bahrain dalam saingan peringkat kelayakan kumpulan D semalam.

Sebaliknya, Rajagobal kekal positif dengan menegaskan, pasukan bimbingannya bakal memanfaatkan baki dua perlawanan bermula pertemuan menentang Qatar di Stadium Shah Alam pada Rabu ini.

Kini, Harimau Malaya menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan empat mata selepas mengharungi empat perlawanan dan skuad Rajagobal dijangka berusaha untuk menamatkan saingan di tempat ketiga terbaik keseluruhan kempen kelayakan Piala Asia kali ini.

Ini kerana satu slot tersebut (tempat ketiga terbaik) turut layak ke kejohanan yang bakal berlangsung di Australia nanti.

“Kami harus kekal positif. Kami masih ada baki dua perlawanan. Kami harus mencari jalan dan terus menampilkan aksi terbaik berdasarkan peluang pada baki dua perlawanan nanti.

“Kami tidak perlu malu dengan kekalahan ini. Kami telah menunjukkan satu persembahan bertenaga.

“Kami bertahan dengan begitu baik pada separuh masa pertama dan tidak membenarkan mereka (Bahrain) memiliki sebarang peluang,” katanya.

Di sebalik ‘kegembiraan’ Rajagobal, rakan sejawatnya, Anthony Hudson tampil dengan nada berbeza apabila mengkritik secara terbuka terhadap taktik bertahan Harimau Malaya.

Hudson menyifatkan, Harimau Malaya tidak berminat untuk ‘bermain’ bola sepak selain mengakui tidak gembira dengan corak bertahan skuad negara.

“Menentang dengan mana-mana pasukan yang ‘parkir dua bas’ di dalam kawasan kotak penalti adalah satu perkara yang amat sukar.

“Apabila enam pemain (Harimau Malaya) berada dalam kawasan kotak penalti, saya tidak anggap itu adalah bola sepak.

“Kami tetap bersabar dan menunggu peluang terbaik. Hasilnya, Bahrain berjaya mendapatkan gol kemenangan,” katanya.

Zolkples

Sementara itu, Kekalahan 1-0 oleh skuad Harimau Malaya kepada Bahrain pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional Bahrain semalam, sudah diduga, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

“Saya daripada awal lagi tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk pasukan kita melakukan sesuatu apatah lagi menentang Bahrain di tempat lawan dan ia bukan satu tugas yang mudah.

“Saya tonton perlawanan berkenaan. Saya nampak ada perkembangan positif dalam pasukan kebangsaan. Kita banyak juga melakukan percubaan dan serangan namun nasib tidak menyebelahi kita untuk menjaringkan gol,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan Boling Sukan Media-MSN 2013 di Kuala Lumpur Megalanes, Endah Parade, di sini, Sabtu.

Zolkples berkata walaupun pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal gagal menjelmakan kejayaan dalam beberapa perlawanan kelayakan Piala Asia, beliau yakin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bijak menilai prestasi jurulatih berusia 57 tahun itu yang kontraknya bakal tamat bulan depan.

“Dari segi Penunjuk Prestasi Utama, beliau (Rajagobal) mungkin gagal…apa pun terpulang kepada FAM untuk menentukan tindakan yang harus dilakukan selanjutnya,” katanya.