Raja puas hati dengan persembahan, Tunggu FAM status jawatan

SHAH ALAM – Walaupun kekalahan 0-1 kepada Qatar seakan hampir menutup peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015, namun ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal enggan mengibarkan bendera putih, sebaliknya percaya, peluang anak-anak buahnya untuk beraksi di Australia masih ada.

Highlight perlawanan di sini.

Kalau dihitung secara realistik, kekalahan pada perlawanan kedua terakhir Kumpulan D di Stadium Shah Alam itu hampir melenyapkan harapan Malaysia untuk memburu tiket ke Australia, tetapi Rajagobal menegaskan, selagi peluang masih ada, selagi itu pasukannya akan terus berjuang.

Rajagobal bagaimanapun mengakui, selain perlu menang dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Yemen di tempat lawan pada 5 Mac, 2014, Malaysia juga perlu mengharap ihsan daripada pesaingnya dalam kumpulan lain.

“Kami perlu positif dengan setiap yang berlaku. Selagi belum berakhir saingan peringkat kumpulan, saya percaya peluang untuk ke Piala Asia tetap ada.

“Memang saya akui kekalahan ini amat menyakitkan, namun kami tetap menerimanya kerana bagi saya pasukan telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan ini,” kata Rajagobal.

Rajagobal turut mengakui, Harimau Malaya mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua, namun tidak dapat dimanfaatkan dengan baik.

“Mereka (Qatar) bermain dengan baik dan perlu diingat bahawa mereka tidak meraih kemenangan ini dengan mudah.

“Perlawanan ini amat sengit, malah kami turut berjaya menafikan beberapa percubaan untuk mendapatkan jaringan daripada pihak lawan dengan baik,” kata Rajagobal.

Beliau turut teruja dengan ’penambahbaikan’ pasukan Malaysia dalam perlawanan kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 di mana mereka semakin ’mendekati’ pasukan dari negara-negara Timur Tengah.

“Saya gembira kerana kita tidak dikalahkan dengan mudah.

“Kita memberikan tentangan hebat terhadap dua negara Timur Tengah, Bahrain dan Qatar,” ujar Rajagobal kepada pemberita selepas perlawanan kelayakan kelima menentang Qatar berakhir dengan skuad ’Harimau Malaya’ tewas 0-1 di Stadium Shah Alam, di sini malam tadi.

Biarpun Malaysia mengalahkan Yemen 2-1 dalam aksi pertama, namun perlawanan seterusnya tidak mudah kerana ia berlangsung di tempat lawan.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak meraih tempat ke Piala Asia 2015 dan satu slot ditawarkan buat pasukan ketiga terbaik daripada lima kumpulan yang ada.

Sementara itu KEDUDUKAN Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya kini terletak di tangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kekalahan 0-1 kepada Qatar pada aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam tadi seolah-olah menjadi tugas terakhir Rajagobal.

Ini kerana, pintu buat Harimau Malaya untuk beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia semakin tertutup rapat.

Selepas mengharungi lima perlawanan, anak-anak buah Rajagobal sekadar menduduki tangga ketiga di belakang Bahrain dan Qatar apabila mengutip empat mata.

Keputusan itu menyaksikan Rajagobal makin terdesak menepati Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan FAM iaitu Harimau Malaya melepasi kelayakan Piala Asia 2015.

Bagaimanapun, beliau tetap tenang menghadapi ‘gelora’ yang bakal menimpanya apabila kontrak tamat pada 31 Disember depan.

“Kontrak saya habis (tamat) pada 31 Disember depan. Buat masa ini, masih belum ada perbincangan (dengan pihak pengurusan FAM) dan saya harus bersikap profesional.

“Saya masih ada tugas (perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Yemen pada 5 Mac 2014) dan jika boleh, saya mahu menyelesaikan tugas itu (sebelum melepaskan jawatan).

“Selepas aksi tersebut, saya akan terima apa jua keputusan (FAM),” kata Rajagobal pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, jurulatih Qatar, Fahad Abdulla Al Zarraa mengakui skuad kendaliannya berhak menang ke atas Harimau Malaya.

Jelasnya, taktik bertahan menjadi kunci kemenangan skuad kendaliannya, sekali gus menyaksikan peluang mereka untuk beraksi ke pentas Piala Asia 2015 semakin cerah.

“Saya fikir perlawanan malam ini (semalam) lebih terbuka. Mereka (Harimau Malaya) menampil corak menyerang sebaik permainan dimulakan.

“Namun, kami berjaya memberikan fokus dengan tidak melakukan kesilapan mudah begitu ketara. Pada aksi separuh masa kedua, kami berjaya menembusi gawang mereka.

“Saya sudah jangka perlawanan ini bakal sengit. Oleh sebab itu, kami bermain dengan lebih berhati-hati tetapi hasilnya, Qatar memperoleh kemenangan bermakna,” katanya.

Highlight perlawanan di sini.