Presiden KFA mahu pulihkan reputasi Hijau Kuning

Langkawi: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan memastikan prestasi bola sepak negeri itu dalam saingan Liga M yang semakin merudum kembali cemerlang dalam tempoh tiga tahun lagi.

Presiden KFA Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pelbagai transformasi bakal dilakukan terhadap pembangunan bola sepak di negeri itu agar hala tuju sukan itu berada di landasan betul untuk tempoh jangka panjang.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, perkara itu dibincangkan pada mesyuarat pengarah KFA semalam dan tumpuan awal akan diberikan terhadap prestasi skuad itu bagi Piala Presiden tahun depan.

“Kita akan lakukan pelbagai transformasi bagi jangka masa antara tiga dan lima tahun. Namun saya rasa impak besar daripada program transformasi ini akan dirasai mulai 2015,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, KFA tidak meletakkan sasaran tinggi kepada skuad Kedah untuk saingan Liga Perdana musim depan.

David Mitchel

Beliau berkata, daripada 600 pemain muda yang menyertai sesi pemilihan baru-baru ini, 40 pemain dipilih menjalani latihan sebelum diserapkan dalam pasukan berkenaan.

Mukhriz turut mengesahkan bekas penyerang import Selangor, David Mitchel bakal membimbing skuad Hijau Kuning menghadapi Liga M musim depan.

Difahamkan dua tonggal Khyril Muhymeen dan Baddrol Bakhtiar kekal bersama Kedah.