Piya tidak akan tinggalkan Red Warriors

Kapten kesayangan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengaku akan terus bersama The Red Warriors bagi mengharungi saingan musim depan.

Menurut sumber kelate.net, pertahanan import kental dari Nigeria, Obinna Nwaneri turut disahkan akan kekal bersama Kelantan selepas menandatangani kontrak baru yang lumayan.

Dua musim bersama TRW, Nwaneri tidak ketinggalan membantu Kelantan menjulang Juara Liga Super 2012, Piala Malaysia 2012 dan Piala FA 2012 serta 2013.

Berasal dari Lagos, Nigeria dan lahir pada 18 Mac 1982, Nwaneri memiliki ketinggian 1.83 meter dan susuk tubuh sasa sekali gus kerap menyukarkan pihak lawan menembusi benteng tatkala beraksi menentang Kelantan.

Bagaimanapun, pada perlawanan akhir Watsons Piala Malaysia antara Kelantan dengan Pahang baru-baru ini, Nwaneri terlepas untuk beraksi selepas mengutip dua kad kuning pada perlawanan separuh akhir.

Sementara itu, Mohd Badhri Radzi, 31, atau Piya menjelaskan dia sudah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan badan induk bola sepak negeri itu memberi jawapan positif untuk memastikan dia kekal di negeri itu.

Piya dalam laman Facebooknya berkata “Saya tidak pergi ke mana-mana. Kekal di Kelantan. Saya anak Kelantan. Siapa lagi mahu mengangkat nama Kelantan kalau bukan orang Kelantan sendiri.”

Manakala, pemain Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Mohd Ali hampir pasti akan mengikat kontrak bersama Kelantan pada musim depan. Khabar angin itu sudah tersebar meluas malah dalam laman Facebooknya juga dia berkata, “Terima Kasih Negeri Sembilan, selamat bertemu Kelantan”.  – Arena