Penyampai TV Venezuela dinobat Miss Universe

Moscow: Penyampai televisyen berusia 25 tahun dari Venezuela, Gabriela Isler kelmarin dimahkotakan sebagai Miss Universe di Moscow dalam upacara gilang-gemilang.

Hakim, termasuk bintang rock Steven Tyler daripada kumpulan Aerosmith memilih pemenang itu daripada sejumlah 86 peserta dalam acara pertandingan terbabit yang ditonton oleh jutaan penonton di seluruh dunia.

Pemenang tahun lalu Olivia Culpo memakaikan mahkota berlian di kepala Gabriela yang mengenakan gaun malam bertatahkan batu permata perak.

Olivia sebelum itu tampil di pentas memakai baju renang putih yang bertatah berlian, delima dan zamrud yang dikatakan penganjur bernilai AS$ 1 juta (RM3.17 juta).

Gabriela turut menggayakan baju renang sama semalam.

“Baju renang itu dibawa dengan kawalan keselamatan 24 jam seminggu,” komen pengacara bersama Thomas Roberts, penyampai televisyen Amerika.

Roberts yang menjadi pengacara bersama pertandingan akhir ratu cantik itu bersama bekas kumpulan Spice Girl, Melanie Brown mendedikasikan acara itu kepada mereka yang menjadi mangsa taufan di Filipina. – AFP