Peniaga maut ditembak depan rumah

BACHOK: Seorang peniaga pasar malam maut terkena tiga das tembakan dilepaskan seorang pembonceng motosikal di depan rumahnya di Pengkalan Petah, di sini, kira-kira 8.45 malam tadi.

Dalam kejadian itu mangsa, Alias yusof, 58, menunggang motosikal keluar dari rumahnya bersama anak lelaki berusia enam tahun selepas pulang berniaga.

Kira kira 30 meter menunggang motosikal, muncul motosikal ditunggang dua lelaki sebelum pemboncengnya melepaskan tembakan dan satu tembakan terkena di kepala dan dua lagi perut kanan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II ) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Mayat mangsa

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isteri Alias, Jawiah Che Mat, 41, berkata, sebelum kejadian dia menaiki van bersama dua lagi anaknya, Che Muhammad Abdul Achik, 9, dan Nur Lidiya Nabila, 2, pulang daripada berniaga pasar malam.

Menurutnya, Alias dan Che Muhammad Danial menyusul di belakang dengan menunggang motosikal Honda C70.

“Saya sampai dulu di rumah dan ketika meletakkan van, saya nampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal memakai topi keledar meninjau sekeliling van, kemudian mereka pergi ke arah Bachok.

“Selepas itu saya melihat dua lelaki itu berselisih dengan motosikal ditunggang suami dan anak saya sebelum mereka membuat pusingan U.

“Saya lihat dua lelaki itu merapati suami dan sejurus berpaling ke arah van, saya dengar bunyi tembakan beberapa kali,” katanya.

Jawiah berkata, selepas itu dia mendapati suaminya terbaring di atas jalan raya manakala Che Muhammad Danial berlari ke tepi jalan.

“Ketika itu, jalan memang sunyi dan saya terus meluru ke arah suami dan mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Jawiah berkata, sepanjang pengetahuannya, suaminya tidak mempunyai musuh dan menyerahkan kepada polis melakukan siasatan.

Alias dan Jawiah berniaga makanan dan minuman di pasar malam Pengkalan Petah, 200 meter dari rumah mereka.

Pada Julai lalu, seorang guru juga maut ditembak di Bachok