Penarikan diri Terengganu di LTdL, Menteri belum buat keputusan

Kuala Lumpur: Arena basikal negara bakal menjadi mangsa seandainya percakaran antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berterusan akibat salah faham.

Kelmarin, Ahmad membuat keputusan drastik dengan mengumumkan penarikan diri Terengganu daripada sebarang penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) sekali gus menyebabkan penganjuran LTdL bakal kehilangan penajaan bernilai RM2 juta yang ditaja oleh kerajaan negeri itu tahun lalu.

Perkhabaran itu mencetuskan rasa terkejut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak menyangka bahawa Ahmad membuat pengumuman itu tanpa mengetahui sebarang keputusan rasmi yang dibuat.

Khairy menegaskan keputusan yang dibuat oleh Ahmad itu adalah atas andaian semata-mata tanpa sebarang bukti kukuh kerana hingga kini KBS masih belum memutuskan sebarang keputusan berhubung venue Sukan SEA termasuk penganjuran Piala Monsun.

“Saya ingin menerangkan bahawa Jemaah Menteri serta KBS setakat ini belum menetapkan sebarang keputusan mengenai lokasi atau ‘venue’ acara Sukan SEA 2017.

“Walaupun Jemaah Menteri sudah memutuskan Malaysia sebagai tuan rumah untuk temasya itu, Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) akan hanya membuat keputusan rasmi pada 10 Disember. Sebarang kenyataan mengenai venue bagi acara itu hanya cadangan buat masa ini.

“Jadi saya amat berharap Ahmad akan mengkaji semula keputusan beliau berhubung LTdL. Walaupun terdapat salah faham, sukan basikal tidak seharusnya dijadikan mangsa terutamanya dalam acara antarabangsa sebegini,” katanya.

Ahmad dilaporkan membuat keputusan itu selepas dikatakan kecewa kerana KBS seperti menganaktirikan Terengganu dalam penganjuran beberapa sukan utama termasuk tuan rumah Sukan SEA 2017 selain mengubah lokasi Piala Monsun.

Khairy berkata, beliau berharap kerajaan negeri akan meneruskan pembabitan dalam LTdL kerana Terengganu cukup sinonim dengan sukan berkenaan berikutan ramai pelumba negara lahir di situ.

Sementara itu, Khairy menerusi laman Facebooknya turut menjelaskan perkara itu sudah diterangkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat. – HM