Pembunuh pegawai Ambank berjaya ditangkap polis

KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan yang menembak mati pegawai Ambank Norazita Abu Talib, 37, dalam kejadian rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya pada 23 Okt lepas, telah berjaya ditangkap polis pagi ini.

Suspek akhirnya berjaya diberkas dalam satu serbuan di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, suspek ditahan kira-kira pukul 7 pagi ini oleh Pasukan Op Cantas Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bertindak atas maklumat, Pasukan Cantas Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menangkap seorang lelaki di Kampung Belungkor, Kota Tinggi pada jam 7 pagi tadi, demikian menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Pihak polis percaya dengan penahanan suspek utama ini, kes berkenaan berjaya diselesaikan,” katanya.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya apabila beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Ops Cantas Bukit Aman yang dikatakan telah berjaya menangkap suspek di Johor Baharu.

Dalam kejadian pada pukul 6.18 petang itu, Norazita, maut ditembak oleh suspek ketika beliau membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan, bersama-sama seorang lagi pegawai wanita.

Ketua Polis Negara mengucapkan tahniah di laman twitternya

Mangsa yang sudah berkerja selama 16 tahun di bank itu meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian kepala akibat ditembak dengan ‘pump gun’ oleh suspek.

Suspek kemudian melarikan sejumlah RM450,000 dari bilik kebal itu.

Rakaman video selama 32 saat, yang dipercayai sedutan CCTV memaparkan insiden itu, telah tersebar dengan meluas di laman sosial ekoran kejadian tersebut. – Awani