Pahang tidak berminat dengan Rajagobal

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menepis spekulasi bahawa jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal akan mengisi tempat Dollah Salleh selaku ketua jurulatih skuad Tok Gajah musim depan.

Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim menegaskan, Rajagobal tiada dalam senarai selaku pengganti Dollah yang dilaporkan hampir pasti membimbing Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kempen Liga Premier tahun depan.

“Namanya (Rajagobal) langsung tiada dalam senarai kami. Saya tidak tahu bagaimana beliau dikaitkan dengan jurulatih baharu Pahang.

“Pada pendapat saya, banyak jurulatih tempatan yang layak tetapi kami menanti titah daripada Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

“Sebelum isu Dollah (yang dikaitkan dengan PDRM) timbul, PBNP sudah lama merancang membawa pengendali dari luar negara iaitu Bruno Metsu yang pernah membawa Ghana beraksi pada Piala Dunia.

“Malangnya, usaha PBNP tidak kesampaian apabila jurulatih kelahiran Perancis itu meninggal dunia pada September lalu.

“Sehubungan itu, PBNP tidak mahu terburu-buru untuk menamakan mana-mana individu sebagai pengganti Dollah.

“Apa yang pasti bukan Rajagobal. PBNP akan mengumumkan pengganti Dollah minggu depan jika beliau tekad meninggalkan Pahang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ketiadaan Dollah sudah pasti dirasai skuad Tok Gajah selepas mereka berjaya mengakhiri penantian 21 tahun dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia minggu lalu.

Pahang mengesahkan kejuaraan selepas membenam juara bertahan, Kelantan 1-0 menerusi jaringan tunggal Matias Conti pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Mengulas mengenai persiapan Pahang musim depan, Fuzzeimi berkata, skuad Tok Gajah tetap mahu memperkemas lagi barisan sedia ada.

“Kami akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan jurulatih atau pemain-pemain berpotensi bagi menguatkan skuad Pahang musim depan,” katanya. – Kosmo