Norfarhan puas akhirnya dakap trofi

SHAH ALAM – Setelah sekian lama mempamer aksi yang cemerlang pada saban tahun, akhirnya Mohd. Norfarhan Muhammad merangkul anugerah Penyerang Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 100 Plus-Astro Arena-FAM buat kali pertama.

Tiada perkara lain yang dilafazkan oleh bakal pemain Terengganu itu pada musim depan, selain rasa bersyukur dengan kemenangan berkenaan selain melabelkan kemenangan itu sebagai hadiah perpisahan kepada Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.

”Trofi ini saya dedikasi kepada seluruh ahli keluarga saya dan paling utama kepada seluruh warga The Red Warriors yang tidak pernah putus-putus sama ada dalam atau luar padang memberikan sokongan padu.

”Kemenangan ini adalah pelengkap saya menamatkan kerjaya saya bersama Kelantan sebelum berhijrah ke pasukan baru saya, Terengganu bagi menghadapi saingan musim depan, ” katanya.

Norfarhan berjaya mengetepikan saingan yang kuat daripada beberapa pemain kebangsaan seperti pemenang tiga kali Anugerah Pemain Paling Bernilai, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Amri Yahyah selain pemain veteran, Hairuddin Omar, bintang Pahang, Azamuddin Akil dan pemain Lions XII, Shahril Ishak.

Sementara itu, Baihakki Khaizan yang dinobat sebagai Pertahanan Terbaik mengakui, nasib mungkin memihak dirinya apabila mengetahui namanya diangkat sebagai pemenang memandangkan persaingan yang cukup sengit, selain turut mengumumkan dia akan bersama Johor Darul Takzim (JDT) dan bukannya Johor DT II seperti mana diketahui sebelum ini.

”Dalam setiap perlawanan saya sentiasa berikan yang termampu dan kebetulan saya berjaya membantu pasukan dalam setiap perlawanan, itu mungkin menjadikan saya diangkat sebagai pemenang.

”Untuk musim depan, saya akan bersama JDT, perkhabaran ini baru saya terima beberapa hari lalu dan kejayaan ini pasti akan menjadi loncatan semangat saya bagi meraih tempat dalam kesebelasan utama, ” katanya. – Utusan