Nazri Ahmad tipu FAS?

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung tindakan bekas pemain Johor Darul Takzim (DT) Nazri Ahmad yang dilaporkan sudah menyertai Kelantan untuk saingan Liga M musim depan.

Nazri diperkenalkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebagai salah seorang pemain baru The Red Warriors (TRW) semalam namun ia mencetuskan masalah baru apabila pemain kelahiran Selangor itu difahamkan sudah menandatangani kontrak selama dua tahun bermula musim depan dengan Selangor.

Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad berkata, kes pemain berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM untuk tindakan lanjut.

“Nazri sudah menandatangani kontrak bersama kami. FAM perlu menyelesaikan perkara ini dan kami melihat ini adalah satu kesalahan yang amat serius,” katanya yang jelas kurang senang berhubung perkembangan terbaru membabitkan pemain pertahanan berkenaan.

Mokhtar turut menganggap tindakan Nazri adalah tidak bermoral dan akan mengemukakan laporan kepada FAM hari ini dengan difahamkan FAS juga sudah menerima Sijil Perpindahan Negeri (SPN) pemain berkenaan.

Difahamkan pemain berusia 23 tahun itu turut berdepan dengan denda dan penggantungan seandainya didapati bersalah oleh Jawatankuasa Status Pemain FAM.

Perkembangan terbaru ini pastinya merencatkan perancangan Merah Kuning selepas penyerang kebangsaan Safee Sali baru-baru ini mengubah fikiran pada saat akhir untuk kembali bersama bekas kelabnya, Johor DT walaupun secara lisannya sudah bersetuju menyertai Selangor. – HM