Messi puji aksi Ronaldo

Madrid: Bintang Barcelona Lionel Messi memuji kehebatan pencabar tradisinya Cristiano Ronaldo dalam satu temuramah yang disiarkan semalam ketika spekulasi mengenai kemungkinan pemain antarabangsa Portugal itu bakal dinobat sebagai Pemain Terbaik Dunia kian memuncak.

Sehari selepas menerima anugerah Kasut Emas atas kejayaan menjaringkan 46 gol dalam saingan liga musim lalu yang gagal dicabar pemain lain di Eropah, Messi, 26, memberi penghormatan kepada pencabarnya dari Real Madrid itu.

“Saya tidak tahu sama ada Cristiano Ronaldo berada di kemuncak prestasinya namun dia selalu menjaringkan gol dalam semua perlawanan tidak kira bersama kelab atau pasukan kebangsaan,” kata Messi.

“Dia sudah melakukannya sejak beberapa tahun lalu dan sama ada dia di puncak prestasi atau sedikit merosot langsung tiada beza.” Ronaldo yang berusia 28 tahun muncul pemain pilihan untuk merangkul anugerah Ballon d’Or selaku pemain terbaik dunia mengatasi juara empat kali Messi.

Ronaldo meledak hatrik Selasa lalu untuk membantu Portugal layak ke pusingan akhir Piala Dunia bagi kali keempat berturut-turut dan kini turut menjadi penjaring terbanyak liga Sepanyol dengan 16 gol dalam 13 perlawanan.

Messi mengumpul 11 gol dalam lapan perlawanan liga musim ini namun terpaksa diketepikan hingga lapan minggu kerana kecederaan hamstring iaitu kecederaan kaki ketiga musim ini.

Messi enggan memberi komen mengenai kecederaannya selepas dia dikritik kerana kecederaan itu sepatutnya boleh pulih lebih cepat.

“Apa yang mereka katakan mengenai kecederaan ini tidak membimbangkan saya kerana saya sudah biasa dikritik bukan hanya mengenai kecederaan tapi perkara lain,” katanya.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat membantu rakan sepasukan sekarang tapi ia kecederaan yang akan sembuh seperti biasa dan saya akan kembali beraksi tahun depan.” – AFP