Messi bakal berehat panjang

Madrid: Pengurus Barcelona, Gerardo Martino berkata beliau akan melihat tahap kecederaan hamstring yang dialami Lionel Messi selepas bintang Argentina itu cedera, hanya selepas 20 minit beraksi ketika Barca menang 4-1 ke atas Real Betis, kelmarin.

Ini kali ketiga Messi mengalami kecederaan musim ini, selepas cedera hamstring dan pangkal paha pada awal musim.

Kecederaan baru

“Kecederaan Messi kali ini tidak ada kaitan dengan apa dialami sebelum ini kerana kali ini kaki kiri, manakala kecederaan dulu kaki kanan. Saya akan tunggu laporan daripada doktor mengenai tahap kecederaan sama ada serius atau tidak.

“Kita perlu bercakap dengan Leo, ini episod ketiga kecederaannya dalam tempoh singkat, jadi mungkin ia sedikit mengganggu tumpuannya.”

Bukan alasan

Cesc Fabregas menjaringkan dua gol di babak kedua manakala Neymar dan Pedro Rodriguez terlebih dulu meledak gol pada babak pertama. Jorge Molina menyempurnakan penalti untuk gol sagu hati tuan rumah.

Martino beranggapan ketiadaan Messi sedikit membataskan permainan Barca namun bukan alasan untuk tidak mencatatkan kemenangan.

“Kami ada pemain terbaik dunia, tetapi kami juga ada empat atau lima orang lagi pemain dalam kelompok enam atau tujuh pemain terbaik dunia seterusnya. Oleh itu, sebagai jurulatih, ketiadaan Messi bukan alasan untuk tidak menang.

Messi dijangka berehat antara 6 hingga 8 minggu – AFP