Manchester United mahu Iniesta

LONDON – Pengendali Manchester United, David Moyes dilaporkan cuba untuk melakukan satu perpindahan sensasi dengan melamar perancang Barcelona, Andres Iniesta.

Moyes kini sedang memantau perkembangan semasa Iniesta sebelum mengemukakan tawaran sebaik pintu perpindahan pemain dibuka pada Januari tahun depan.

Buat masa ini, segala-galanya tampak mustahil bagi United kerana Iniesta masih setia bersama The Catalan sejak sedekad lalu.

Bagaimanapun, khabar angin bertiup kencang yang mendakwa hubungan Iniesta dengan pengurus Barcelona, Gerardo Martino kini semakin dingin.

Perancang antarabangsa Sepanyol itu tidak gembira apabila bekas jurulatih, Pep Guardiola meninggalkan kelab itu.

Ketiadaan pakar fisioterapi, Emili Ricart yang dipecat awal musim ini turut mengundang kekecewaan buat Iniesta.

Disebabkan itu, Iniesta berkemungkinan besar akan mencuba angin baharu berbanding melanjutkan kontraknya yang akan tamat di Stadium Nou Camp pada 2015.

Moyes akan mengambil peluang itu selepas gagal memburu nama-nama besar seperti Cesc Fabregas dan Cristiano Ronaldo ketika pintu perpindahan pemain ditutup awal September lalu.

Selain Iniesta, turut berada dalam radar Moyes Januari depan ialah pemain Real Madrid, Fabio Coentrao. – Agensi