Lakaran suspek diedar, geng ajaran sesat disyaki

KUANTAN: Polis mula mengedarkan lakaran wajah seorang suspek kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Ab Malek sebentar tadi.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, lakaran itu membabitkan suspek yang memberi salam kepada mangsa sebelum rakannya melepaskan tiga das tembakan ke arah Mohd Raffli.

“Suspek dianggarkan berusia lingkungan 50 tahun dan saya percaya kes ini dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media tadi.

Beliau berkata, lakaran itu 70 peratus tepat berdasarkan maklumat yang diperolehi.

“Suspek bertubuh sasa, berkulit sawa matang, rambut dan misai beruban.

“Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunya maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 095132222 atau bilik gerakan IPD Kuantan di 095142999,” katanya.

Sementara itu, Polis semalam memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik, 49, di Indera Mahkota 2, Kuantan yang mati ditembak kelmarin mempunyai kaitan dengan kumpulan Syiah atau ajaran sesat bergelar Tuhan Harun yang mahu membalas dendam.

Ketika selepas serbuan di markas Syiah September lalu

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa 31 pengikut Tuhan Harun yang masih bersembunyi supaya menyerah diri bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam tersebut.

“Siasatan akan diadakan secara menyeluruh, berkemungkinan ia ada kaitan dengan kumpulan Syiah atau ajaran sesat Tuhan Harun yang mahu membalas dendam,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Dari Perspektif Islam di Maktab Polis Cheras di sini semalam.