Kim Swee layak jika FAM mahu calon tempatan

Kuala Lumpur: Dua pemain senior dalam saingan bola sepak tempatan, Hairuddin Omar dan Shahrulnizam Mustapa sependapat bahawa Datuk Ong Kim Swee adalah calon terbaik menggantikan Datuk K Rajagobal sebagai jurulatih kebangsaan yang baru.

Kim Swee, 43, yang kini mengendalikan skuad B-23 negara, Harimau Muda A untuk misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, bulan depan dikatakan mendapat tawaran daripada beberapa negara Asia Tenggara termasuk Myanmar jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir 31 Disember ini.

Idea, pendekatan baru

Rajagobal, 57, pula yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) membawa Harimau Malaya layak automatik ke Piala Asia 2015 turut akan tamat kontraknya 31 Disember ini dengan keputusan muktamad mengenainya akan diputuskan Jawatankuasa Eksekutif FAM, hari ini.

Namun bagi Hairuddin, 34, yang juga kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kim Swee menjadi pilihannya untuk menggantikan Rajagobal kerana pendekatan yang digunakan pengendali muda berasal dari Melaka itu disenangi para pemain tanpa mengira usia.

“Saya pernah berlatih di bawah kendaliannya ketika Pilihan Malaysia bertemu Chelsea pada 2011. Saya lihat Kim Swee sentiasa mempunyai idea baru, pendekatan baru serta cukup disenangi pemain. Jika FAM mahu mengambil jurulatih tempatan, saya rasa Kim Swee calon terbaik. – BH