Khairy sudah bosan dengan FAM

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui, beliau sudah bosan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disifatkannya tidak boleh menerima sebarang teguran daripada mana-mana pihak.

Pengakuan terbuka Khairy itu dibuat sebagai mengulas kenyataan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang tersinggung dengan kritikan Menteri Belia dan Sukan itu terhadap FAM.

“Saya tidak ada dendam kepada sesiapa, saya tegur FAM atas keprihatinan saya hendak melihat bola sepak maju ke depan, takkanlah persatuan sukan dah jadi kebal. Sampai menteri tak boleh cakap apa-apa.

“Ini yang berlaku hari ini, menteri tegur sikit pun hendak kena panggil bekas pemain, lepas itu kritik menteri,” katanya kepada pemberita sewaktu merasmikan Kejohanan Taekwando WTF-MSN-Milo Antara Kelab di sini, semalam.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan semalam, Jamal Nasir melahirkan rasa tersinggung beliau apabila ada pihak, apa lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan negara, mengkritik secara melulu seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam badan induk bola sepak itu.

Ekoran kenyataan tersebut, Khairy menegaskan, segala kritikan yang dilontarkan selama ini adalah bertujuan demi kemajuan bola sepak tanah air dan tidak bermaksud untuk membalas dendam kepada sesiapa pun yang berada di dalam kepimpinan FAM.

Menurut Khairy, kritikan yang dilakukan selama ini adalah sebagai bukti yang beliau amat sayangkan bola sepak Malaysia dan mahu melihat sukan nombor satu negara itu terus maju.

Namun, katanya, hasratnya itu telah disalah ertikan apabila dituduh berdendam dengan FAM pula.

“Apa ini mengarut, saya cakap bukan sebab saya dendam, saya cakap sebab saya sayangkan bola sepak, saya luahkan apa yang rakyat cakap, tak percaya masuk dalam Facebook, masuk dalam Twitter tengok (rakyat) komen lagi teruk apa yang saya cakap.

“Ini saya berlapik lagi, jadi, tolonglah jangan cari orang yang dah tak ada apa-apa dan lepas itu suruh dia cakap, ini bukan dia cakap, ini FAM ‘baling batu sembunyi tangan’,” tegas beliau.

Malah, ketika ditanya pemberita mengenai kekalahan 0-3 pasukan kebangsaan kepada Kuwait dalam perlawanan persahabatan kelmarin, beliau enggan mengulas mengenai isu tersebut dan sebaliknya meminta pihak media mengajukan persoalan tersebut kepada FAM.

“Saya tak tahu, kena tanya FAM, saya cakap nanti, FAM dia panggil semua bekas pemain, seperti Jamal Nasir suruh kritik saya, malas hendak cakap,” ujarnya.

Ditanya lagi sama ada beliau tidak mahu lagi memberi komen mengenai FAM selepas ini, Khairy berkata: “Saya akan komen dari semasa ke semasa, tapi hari ini saya fed-up dengan FAM.”

Datuk Jamal Nasir Ismail

Laporan semalam menyiarkan luahan perasaan bekas pemain negara tersebut.

“Saya tidak faham kenapa Khairy sejak akhir-akhir ini terlalu nampak kelemahan FAM sedangkan sebelum ini ketika beliau menjadi timbalan presiden FAM selama tiga tahun (2007-2010), masalah ini tidak timbul.

“Adakah beliau berdendam? Tidakkah beliau sedar kritikan itu seperti ‘meludah ke langit yang akhirnya terkena ke muka sendiri’ kerana FAM adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan.

“Beliau begitu berani menuding jari menyalah orang lain, tetapi terlupa empat jari lagi menunjuk ke arahnya.

Sekiranya beliau bijak dalam bidang pengurusan kenapa pasukan MyTeam yang dipimpin hanya mampu bertahan selama tiga tahun,” katanya yang pernah menyarung jersi negara pada era 70 hingga 80-an.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, Khairy perlu mengambil pendekatan lebih harmoni umpama bapa dengan anak dalam menangani isu yang timbul bagi mengelak sebarang persepsi buruk terhadap FAM sehingga mengeruhkan lagi keadaan.

Jelas beliau, Kementerian Belia dan Sukan sendiri selama ini tidak pernah memanggil satu mesyuarat dengan FAM meskipun mempunyai kuasa melakukannya, justeru pendekatan bersemuka perlu dilakukan secara kerap selepas ini.

“Untuk menjaga keharmonian saya cadang antara menteri dan persatuan ia dibuat secara mesyuarat atau bersemuka lagipun kementerian ada kuasa untuk melakukannya.

“Menteri boleh panggil mesyuarat atau secara santai, saya yakin barisan Exco (FAM) pasti akan hadir malah ia memberi peluang kepada menteri nyatakan apa yang berlaku dan kami dalam FAM boleh meluahkan semua masalah yang timbul untuk dicari jalan penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia mengulas kenyataan Khairy dalam media semalam bahawa beliau sudah bosan dengan FAM ekoran badan bola sepak itu yang dikatakan tidak mahu menerima teguran.

Khairy dilaporkan berkata, segala kritikan beliau selama ini adalah demi kemajuan bola sepak tanah air dan bukan bermaksud untuk membalas dendam kepada kepemimpinan FAM.

Menurut beliau, kritikan tersebut telah disalahertikan sedangkan itu adalah bukti yang beliau amat sayangkan bola sepak Malaysia dan mahu melihat sukan nombor satu negara itu terus maju.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kenyataan yang mendakwa FAM tidak mahu menerima teguran adalah tidak tepat, sebaliknya badan tersebut juga mempunyai peranan sama iaitu mahu memajukan bola sepak Malaysia.

Jelasnya, FAM sentiasa terbuka dengan sebarang kritikan, namun ia perlu dilakukan dengan betul untuk mengelakkan sebarang salah faham yang membawa kepada pandangan negatif masyarakat.

“Saya rasa setiap kritikan akan dipertimbangkan oleh FAM cuma platform itu kena betul sebab kalau dalam akhbar mungkin ia disalahertikan juga.

“Seperti yang macam Khairy cakap mungkin dalam intonasi yang berbeza cuma apabila masuk dalam akhbar ia menjadi tidak seperti yang digambarkan oleh beliau.

“Bila kita bersemuka itu amat baik, kami di FAM tiada sebarang kepentingan peribadi dan matlamat kami sama iaitu memajukan sukan bola sepak justeru perlu ada satu pertemuan antara semua Exco dengan menteri,” kata Takiyuddin.

2 Replies to “Khairy sudah bosan dengan FAM”

  1. Nzam Nizz

    Da tua2 dok diam je la…zaman da berubah la beb…cara dulu2 org skrg da xpakai da lagi…mmg FAM angkuh…org tegur siket gantung org tegur siket saman artikal 88…..terima kritikan tu dgn hati terbuka la bknnye kritik blk…perbaiki lh cara pemikiran tu jgn jdi kolot sgt……kerja dgn lebh santai jgn terlalu protokol….jgn jdi kaki bodek. …kalau bdn induk x bole nmpk kelemahan sendri susah la yg bernaung dibwhnye tu nk maju…MAJULAH SUKAN UTK NEGARA

Comments are closed.